KUCHING: Kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja hampir mengubah kehidupan tiga lelaki di Sarawak, namun perlindungan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi penyelamat yang membantu mereka meneruskan kehidupan.
Meskipun kemalangan yang dialami berlaku ketika melakukan urusan peribadi dan bukan semasa menjalankan tugas rasmi, ketiga-tiga pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (LINDUNG Pekerja) tetap layak menerima faedah yang membantu meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pemulihan.
Menurut PERKESO dalam satu kenyataan, seorang Penyelia Ladang, Spencer Chambol, 40, mengalami patah lengan kanan selepas motosikal yang ditunggang terbabas akibat jalan licin ketika dalam perjalanan pulang ke kuarters pekerja dari rumah panjang selepas bercuti hujung minggu pada 14 Jun lalu.
“Lawatan ini turut bertujuan membantu proses tuntutan serta memastikan beliau menerima faedah yang layak di bawah Skim LINDUNG 24 Jam,” ujar kenyataan.
Jelas kenyataan, Spencer menerima rawatan di Hospital Mukah sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu bagi rawatan susulan.
“Hasil semakan mendapati beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) bagi tempoh cuti sakit dari 14 hingga 21 Jun dengan jumlah manfaat keseluruhan sebanyak RM4,470,” jelas kenyataan.
Seorang lagi penerima, Aran Lenchau, 24, yang bekerja sebagai pekerja am, turut menerima FHUS selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Paragon, Bintulu pada 13 Jun lalu.
“Selain kos rawatan yang ditanggung PERKESO, beliau turut menerima gantian pendapatan bagi tempoh cuti sakit selama 14 hari dengan jumlah faedah sebanyak RM1,652,” ujar kenyataan.
PERKESO memaklumkan Skuad Prihatin PERKESO Bintulu segera melawat mangsa di Hospital Bintulu sebaik menerima laporan kemalangan bagi membantu melengkapkan dokumen tuntutan serta memberi penerangan faedah yang layak diterima.
Di Sarikei pula, Leanard Martin turut menerima perlindungan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam selepas jarinya tertusuk duri sawit ketika membantu keluarganya memotong dahan di kebun persendirian pada 6 Jun lalu.
“Jangkitan serius yang dialaminya memaksa beliau menjalani pembedahan memotong jari kelengkeng kiri.
“Dengan bantuan Skuad PERKESO Prihatin Sarikei, tuntutan beliau diluluskan di bawah FHUS dan beliau menerima bayaran cuti sakit selama 21 hari berjumlah RM378,” jelas kenyataan.
PERKESO turut menasihatkan Leanard supaya mengemukakan permohonan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) selepas rawatan susulannya selesai pada 3 Julai bagi membolehkan penilaian dibuat ke atas kesan kekal akibat kehilangan jari tersebut.



