KUCHING: Kerajaan komited melonjakkan paradigma pendidik masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di desa ke arah melahirkan modal insan yang fasih digital.
Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sejak 2022 lagi, KEMAS mengatur strategi untuk merangka enam teras utama bagi memastikan pendidik bersedia dengan keperluan dalam dunia pendidikan digital semasa.
“Kursus Pedagogi Pembelajaran Abad ke-21 yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif kerajaan melonjakkan paradigma pendidik masyarakat KEMAS di desa ke arah melahirkan modal insan fasih digital serta dapat menguasai ilmu teknologi maklumat dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pedagogi Pembelajaran Abad ke-21 dengan pengintegrasian Microsoft 365 kepada 37 pendidik masyarakat tabika dan taska KEMAS Zon Sarawak di Kuching.
Ekoran keprihatinan kerajaan jelasnya, peruntukan RM20 juta diluluskan bagi melaksanakan usaha di bawah Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak tahun ini.
“Justeru itu, langkah pertama kita adalah untuk meningkatkan keupayaan digital personel melalui pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel dan program kompetensi digital pendidik dengan kerjasama pakar akademik serta pihak industri,” ujarnya.
Beliau berharap pendidik yang hadir pada kursus kali ini dapat menjadi lebih berbakat dan mahir, iaitu mereka yang berkemahiran akan dijadikan pakar rujuk dalam bidang berkaitan pendidikan digital.
Seterusnya dapat membantu menyebarluaskan lagi ilmu tersebut kepada pendidik lain apabila balik ke tempat bertugas masing-masing.

