ARTIKEL

Kemasukan percuma, 11 band ekstrem gegar Kuching 5 Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tahun 2026 bakal melabuhkan tirainya dengan rentak muzik ekstrem apabila 11 band dari tiga negara di Pulau Borneo menggegarkan bandar raya ini menerusi Borneo Metal Titan II (BMT II) – Wrath Upon Borneo pada 5 Disember ini.

Acara dianjurkan oleh Midlife Crisis Event itu bakal menyaksikan penyertaan kumpulan kugiran berbakat dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat, Indonesia, yang menjadikan pentas tersebut sebagai medan pertemuan pemuzik ekstrem, selain berkongsi semangat dan minat yang mendalam terhadap muzik bawah tanah.

Slamrot dari Kuala Belait, Brunei Darussalam.

Menurut jurucakap penganjur, Benardy Gillies, Slamrot dari Kuala Belait, Brunei Darussalam bakal mengetuai barisan persembahan sebagai band utama pada edisi kali ini.

Slamrot, yang ditubuhkan pada tahun 2024, berjaya meraih perhatian dalam kalangan komuniti muzik ekstrem antarabangsa menerusi penerbitan album sulung mereka, Ravage of Mind and Flesh, pada tahun ini.

Kumpulan veteran death metal Sarawak, Mentally Murdered.

Band tersebut membawa konsep slamming metal, aktif mengadakan persembahan di Malaysia dan Indonesia, selain bakal melebarkan sayap ke Eropah dalam masa terdekat bagi tujuan promosi album sulung mereka.

Selain Slamrot, tiga lagi band bakal menjadi tumpuan sebagai band utama bersama pada edisi kali ini.

Beyond Our Imagined Lives (B.O.I.L.).

Antaranya ialah kumpulan veteran death metal Sarawak, Mentally Murdered, yang pernah mengharumkan nama Borneo menerusi single mereka, “As I Die Slowly”, pada tahun 1992.

Lagu tersebut pernah dipilih sebagai salah satu lagu tema sempena World AIDS Day di Norway pada tahun yang sama.

Outlander dari Kalimantan Barat.

Mentally Murdered juga pernah menerima beberapa tawaran untuk membuat persembahan serta menjalin kerjasama dengan label rakaman antarabangsa di Eropah.

Bagaimanapun, tawaran tersebut tidak diteruskan atas faktor komitmen kerjaya.

Helldraven dari Kalimantan Barat.

Pencapaian itu antara kejayaan besar yang pernah diraih sebuah band tempatan dalam landskap muzik ekstrem pada era tersebut.

Sementara itu, penyertaan dari Sabah bakal menyaksikan kemunculan kumpulan veteran sludge metal, Beyond Our Imagined Lives (B.O.I.L.), yang buat kali pertama menyertai acara Borneo Metal Titan.

Ditubuhkan pada tahun 1996, B.O.I.L. bakal menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan mereka pada malam acara tersebut.

Dianggotai empat anak kelahiran Sabah, band itu telah lama aktif dalam dunia muzik bawah tanah dan pernah mengadakan beberapa siri jelajah di sekitar Malaysia.

Mereka juga dijangka meneruskan perjalanan muzik ke Indonesia.

Kehadiran B.O.I.L. yang mengetuai kontinjen Sabah, yang turut menampilkan beberapa band dengan identiti muzik ekstrem tersendiri, dijangka memberikan lebih banyak variasi kepada persembahan tahun ini.

Satu lagi nama yang bakal menjadi perhatian ialah Outlander dari Kalimantan Barat, band yang membawa konsep doom/death metal dan dikenali dalam kalangan komuniti muzik ekstrem di Pontianak.

Mereka mula berkecimpung dalam muzik death metal sejak zaman persekolahan pada tahun 2009.

Outlander telah menghasilkan demo berjudul Kepalsuan Menikam sebelum meneruskan perjalanan muzik mereka dengan penerbitan EP terbaharu, All Flesh Rot.

Pada edisi kali ini, mereka bakal berkongsi pentas bersama rakan seperjuangan dari Kalimantan Barat, Helldraven, yang membawa pendekatan groove metal tersendiri.

“Kali ini kami berasa sangat teruja dan gembira kerana bakal menyaksikan variasi muzik ekstrem dari pelbagai kawasan di Borneo. Ini membuktikan bahawa pulau ini mempunyai nilai kesenian dan kreativiti muziknya,” kata Benardy.

Menurutnya, penyertaan band dari kawasan pedalaman termasuk Belaga turut memberikan kelainan kepada penganjuran tahun ini.

“Keadaan ini memperlihatkan bagaimana muzik ekstrem mampu menyatukan pemuzik dan peminat tanpa mengira lokasi, latar belakang mahupun sempadan geografi,” katanya.

Beliau berkata, pihak penganjur masih mengekalkan konsep kemasukan percuma kepada semua pengunjung, sama seperti penganjuran acara yang lalu.

Bagaimanapun, katanya, pengunjung digalakkan membeli barangan rasmi band yang membuat persembahan serta memberikan sokongan kepada premis yang menjadi lokasi penganjuran.

“Acara ini lebih kepada membina sebuah ekosistem yang sihat.

Kami lebih mementingkan usaha band yang ingin membangunkan perjalanan muzik mereka serta premis yang memerlukan pelanggan khusus bagi memenuhi keperluan peminat muzik ekstrem yang sering kali dianaktirikan dalam acara muzik formal atau rasmi,” katanya.

Walaupun bergerak secara kendiri, Midlife Crisis Event tetap memberikan sokongan kepada band yang telah lama berkarya dan mempunyai keinginan memasarkan produk serta barangan mereka secara fizikal.

“Dunia muzik sudah berubah secara digital.

Walaupun persaingan semakin sengit, kita perlu bergerak seiring dengan peredaran masa, khususnya dari segi pemasaran dan promosi,” kata Benardy.

Selain Slamrot, Mentally Murdered, B.O.I.L., Helldraven dan Outlander, barisan persembahan BMT II turut menampilkan Deadshot dari Kuching, Sufibon dari Belaga, Hemewrath dari Bintulu serta Spinning Toxic dan Momporok Chronicles dari Sabah.

BMT II – Wrath Upon Borneo dijadualkan berlangsung pada 5 Disember di 13 Box K. Bar, MJC, dengan kemasukan percuma kepada semua pengunjung.

BERITA LAIN

Perang siber

SERANGAN siber ke atas sistem stok dan bekalan pasar raya, sistem penyimpanan plasma darah dan infrastruktur makanan di Eropah memperlihatkan wajah baharu bentuk peperangan moden.

BERITA TERBARU