KUCHING: Persatuan Kebajikan Hope Place Kuching menjalin kerjasama dengan Aiesec untuk menjalankan projek sukarelawan maya selama dua minggu iaitu Painting Rainbows.
Menurut kenyataan media, Aiesec merupakan organisasi bukan berkepentingan yang dikendalikan oleh belia antarabangsa. “Di Aiesec, kami membayangkan keharmonian dan memanfaatkan potensi manusia dengan memberikan peluang pengembangan kepemimpinan belia.
“Organisasi ini fokus kepada memperkasakan belia untuk memberikan kesan sosial yang berterusan,” kata kenyataan tersebut. Tambahnya, Hope Place Kuching merupakan NGO tempatan yang menyokong keluarga dan golongan kurang berkemampuan.
“Projek Painting Rainbows dilancarkan pada 20 Julai hingga 2 Ogos ini. “Projek ini menyumbang kepada Pembangunan Matlamat Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu tiada kemiskinan, dengan objektif membina masyarakat inklusif menyokong keluarga yang kurang bernasib baik.

“Aktiviti utama projek ini ialah menggalakkan pengumpulan dana maya, iaitu sukarelawan mengumpul dana melalui platform dalam talian,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, projek itu bertujuan mengumpul RM5,000 untuk membantu 200 keluarga kurang bernasib baik dan disokong oleh Hope Place.
“Sepanjang projek ini, aktiviti seperti bengkel dalam talian dan wawancara melalui panggilan video telah dilakukan bersama-sama dengan sukarelawan dan kakitangan Hope Place.
“Secara khusus, dua bahagian bengkel dalam talian dijalankan oleh Pengasas Hope Place Kelvin Wan mengenai kerja amal Hope Place di Sarawak, serta peluang untuk memulakan perbualan.
“Sukarelawan dapat mengetahui lebih lanjut latar belakang dan perkembangan Hope Place sebagai sebuah NGO, serta situasi dan kesukaran semasa dalam kalangan masyarakat setempat di Kuching,” ujarnya.
Untuk rekod, sesi ini sangat berwawasan dan setiap orang saling berinteraksi, berkongsi cerita dan pendapat. Para sukarelawan Painting Rainbows mengadakan sesi temu ramah selama 30 minit dengan empat orang kakitangan untuk berkongsi pengalaman melalui Instagram dan Facebook.
Projek Painting Rainbows berjalan lancar hasil sokongan banyak sukarelawan dan penderma. Mereka berharap projek tersebut akan terus memberi impak kepada masyarakat.



