ARTIKEL

Rakaman ketika rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, Pontianak, 14 November lalu.

Kembara Pontianak: Kota Penuh Cita Rasa dan Cerita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA Pontianak, nyata sekali tidak seseram namanya. Di sebalik namanya, Ibu Kota Provinsi Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia ini sebenarnya mesra dan penuh rasa daripada aroma kulinari yang menggamit selera sehinggalah keramahan penduduknya, membuat kenangan di sini menjadi lebih bermakna.

Mungkin, Pontianak membangkitkan imaginasi yang mengerikan bagi sesetengah pihak tetapi hakikatnya kota ini hidup dengan budaya, warna dan cita rasa yang memikat.

Perjalanan saya dengan Pontianak bukanlah sesuatu yang baharu. Kali pertama menjejakkan kaki di sini, saya menaiki van yang ditempah khas untuk urusan kerja. Tiga hari sahaja tempohnya – satu hari di jalan raya, satu hari bekerja dan satu hari lagi perjalanan pulang.


Saya masih ingat rombongan kami bertolak awal pagi dan tiba di Pontianak hanya selepas berjam-jam menelusuri jalan yang seakan-akan tidak berpenghujung.

Kali kedua saya kembali, saya memilih menggunakan kenderaan peribadi. Urusan membawa masuk kereta ke Kalbar sebenarnya tidak serumit yang disangka—pegawai bertugas sangat membantu. Namun jarak yang jauh dan keletihan perjalanan tetap menjadi cabaran terbesar. Walaupun pengalaman itu membuka mata, ia juga mengajar saya bahawa jalan darat bukanlah cara paling mudah untuk menikmati kota ini.

Rombongan media dan pempengaruh media sosial dari Sarawak merakam gambar kenangan bersama-sama Sekretaris Daerah Provinsi Kalimantan Barat, dr. H. Harisson, M.Kes (empat kiri -hadapan) dan Kepala Dinas Kepemudaan, Olahraga, dan Pariwisata Provinsi Kalbar, Windy Prihastari (tiga hadapan- kanan) di Kantor Gubernur Kalbar, di sini.

PENERBANGAN TERUS KUCHING-PONTIANAK

Kali ini, saya kembali ke Kota Pontianak buat kali ketiga untuk menyertai Program Familiarisation Trip (FamTrip) Pontianak–Singkawang yang berlangsung dari 14 hingga 18 November lalu, dianjurkan oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching dengan kerjasama AirAsia sebagai rakan syarikat penerbangan untuk memberi pendedahan secara langsung mengenai destinasi pelancongan menarik, budaya dan kuliner di Kalbar.

Sebab itu, penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak benar-benar memberi kejutan kepada saya. Ini kali pertama saya menaiki kapal terbang ke Pontianak, bak kata pepatah, sekelip mata sahaja sudah sampai. Baru sahaja hendak melelapkan mata, tiba-tiba pengumuman mendarat sudah bergema. Kurang 30 minit penerbangan saya bersama-sama 13 rakan media dan pempengaruh dari Sarawak sudah tiba di kota itu.


Berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar 9.23 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, Pontianak pada 9.55 pagi. Umpama mengundur masa, tapi inilah hakikatnya kerana Kalbar menggunakan Waktu Indonesia Barat (WIB) yang lewat satu jam. Suasana kota yang sibuk dengan motosikal menyambut kami, jauh lebih bersahabat daripada apa-apa yang sering digambarkan melalui namanya.


Sebaik keluar dari lapangan terbang, pasukan pengelola trip sudah menunggu dengan senyuman yang cukup mesra. Peralihan daripada pesawat ke darat berlaku begitu cepat dan teratur, memberi gambaran awal tentang kelancaran perjalanan kami sepanjang berada di Pontianak.

Tidak lama selepas itu, kami menuju ke Kantor Gubernur Kalbar — antara bangunan pentadbiran penting di kota ini. Walaupun lawatannya ringkas, ia memberikan kami sentuhan pertama Pontianak: teratur, sederhana, tetapi sarat dengan sejarah dan identiti.


Seterusnya, kami dibawa menikmati hidangan tengah hari. Di sinilah saya pertama kali merasai bebola ikan telur masin yang dijual di kedai makan Bakso Ikan Telur Asin Ahan – hidangan tempatan yang benar-benar meninggalkan kesan. Walaupun supnya nampak sederhana – bebola ikan dan sayur di dalam mangkuk tetapi rasanya cukup istimewa.

Bebola ikan telur masin itu lembut dan berperisa, dihidangkan pula bersama dengan nasi putih, sambal cili, dan sedikit perahan limau kasturi. Boleh dikatakan ia hidangan sederhana, tetapi memuaskan yang juga menjadi hidangan pertama kami di Pontianak.

Dalam perjalanan ke hotel, kami menaiki bas Damri dan diiringi oleh Mulia Tour & Travel, pemandu pelancong mereka banyak berkongsi cerita tentang kawasan-kawasan yang kami lawati — daripada lokasi bersejarah, kulinari wajib cuba sehinggalah budaya masyarakat tempatan. Cerita-cerita kecil itu menjadikan perjalanan petang kami lebih hidup.

Hari pertama di Kota Pontianak, kami menginap di Novotel, iaitu hotel yang dahulunya dikenali sebagai Hotel Kapuas. Kini, ia diberi wajah baharu dengan rekaan lebih moden, lebih segar, dan menawarkan ruang rehat yang selesa selepas perjalanan panjang tetapi penuh pengalaman.

Hidangan bebola ikan yang ditawarkan di kedai makan Bakso Ikan Telur Asin Ahan.


CHE HUN TIAU, AHUI

Menjelang petang, kami berpeluang mencuba salah satu pencuci mulut popular di Pontianak iaitu Che Hun Tiau. Sekilas pandang, ia kelihatan seperti cendol atau bubur pulut hitam, tetapi rasanya jauh berbeza — lebih ringan, lebih unik dan benar-benar menyegarkan dalam panas kota Pontianak.

Hidangan istimewa itu dilengkapi dengan kacang merah, kentan hitam (pulut hitam), bongko dan cincau. Tidak hairanlah hidangan ini menjadi buruan ramai pelancong luar lebih-lebih lagi dari Malaysia dan beberapa negara lain. Ada sesuatu tentang kesederhanaan dan keaslian rasanya yang membuatkan ia begitu dekat dengan jiwa.

Ketika kunjungan ke warung itu, saya turut berkesempatan menemu bual pengusahanya, Hermanto, 38 atau lebih dikenali sebagai Ahui untuk mengetahui lebih lanjut keistimewaan pencuci mulut khas Pontianak itu.

Ahui berkata, perniagaan Che Hun Tiau yang diusahakan kini merupakan warisan keluarga turun-temurun dan diusahakan sejak lebih 40 tahun lalu. Dimulakan oleh bapanya – ketika itu menjual menggunakan gerobak sambil berkeliling di sekitar Pontianak.

“Kini kami adik-beradik meneruskan perniagaan ini, dan saya sendiri sudah berniaga di warung ini lebih 14 tahun.

“Keunikan hidangan tersebut terletak pada resipi asli keluarga mereka. Ia dihasilkan menggunakan tepung sagu, manakala bongko—komponen istimewa dalam hidangan ini memberikan aroma wangi dan rasa tradisional tersendiri,” katanya.

Warung kecil itu turut menerima pelanggan tetap dari Malaysia dan negara-negara jiran. Ia pernah tular sebagai “makanan wajib cuba” bagi pelancong yang datang ke Pontianak. Malah, menurut Ahui mereka turut menerima pelanggan dari luar negara.

“Dari segi harga, satu mangkuk dengan menu lengkap adalah sekitar RM3.22 (13,000 rupiah) dan tanpa bongko pula hanya RM2.97 (12,000 rupiah),” ujarnya yang berniaga dari pagi hingga petang.

Hermanto (kanan) atau lebih dikenali sebagai Ahui yang juga pengusaha, Che Hun Tiau.
Hidangan istimewa Che Hun Tiau.
Warung Che Hun Tiau, milik Ahui.

SENJA YANG MENENANGKAN

Selepas menikmati pencuci mulut tersebut, kami dibawa ke Taman Alun Kapuas, antara lokasi ikonik di Pontianak yang sering menjadi tumpuan warga tempatan dan pengunjung. Dari tebingan sungai, kami menaiki Kapuas River Cruise untuk menelusuri Sungai Kapuas yang juga merupakan sungai terpanjang di Indonesia.

Di sini, kami dihidangkan bukan sahaja dengan suasana senja Kota Pontianak, tetapi juga pelbagai juadah menarik dan lazat. Dalam perjalanan menelusuri sungai tersebut, kami sempat mencuba menu pisang susu keju yang hanya RM3.72 (15,000 rupiah) dan saya mencuba nutrisari jeruk dengan harga RM1.24 (5,000 rupiah) satu gelas.

Nama menu mungkin agak pelik bagi kita pada awalnya tetapi rasanya cukup memuaskan, apatah lagi dinikmati di atas kapal yang bergerak perlahan merentas arus tenang Sungai Kapuas.

Senja di Pontianak terasa begitu nyaman. Angin petang yang lembut, cahaya matahari yang semakin tenggelam dan bunyi air sesekali menghempas bahagian bawah bot menjadikan suasana itu sukar dilupakan.

Petang itu, memang ramai yang menaiki kapal tersebut menikmati suasana sambil minum petang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Ketika itu, orang tempatan yang kami temui juga ramah menyapa sambil membenarkan kami merakam gambar mereka.

Kegembiraan kami pada petang itu tidak terhenti di atas kapal, ada badut yang menunggu di tebingan sungai sekali gus memutarkan lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ – lagu yang cukup dekat di hati rakyat Sarawak kerana sering mengiringi tarian poco-poco. Tanpa dirancang, kami turut menari poco-poco bersama-sama, ketawa dan berhibur seolah-olah berada jauh dari tugasan harian.

Selepas kami berhibur, kami berkunjung ke Restoran Sari Bento untuk menikmati makan malam sambil berehat. Restorannya mempunyai suasana seakan-akan “rumah sendiri”—hangat, sederhana, tetapi cukup selesa. Hidangan yang disajikan menepati selera, dan layanan diberikan dengan penuh perhatian, menjadikan makan malam itu penutup yang sempurna selepas seharian meneroka Pontianak.

Restoran ini bukan sahaja sesuai untuk makan bersama-sama keluarga tetapi juga untuk bersantai dengan rakan-rakan kerana ruang yang disediakan sangat menarik. Ia juga sesuai untuk mereka yang hendak menyambut hari istimewa atau merakam gambar kenangan.

Orang ramai di Kapuas River Cruise.

KOPI VIRAL, SEJARAH PONTIANAK

Kami memulakan hari kedua di Pontianak seawal 7 pagi, menikmati sarapan di Novotel dan seterusnya melawat Warung Kopi Asiang di Jalan Merapi. Kami semua disambut dengan suasana meriah pagi, menggamit kenangan sebelum adanya kedai kopi hipster. Di sini masih hidup di lokasi ikonik yang terkenal dengan pembuat kopi tidak berbaju.

Di sini, kami mencuba pelbagai minuman dari kopi, coklat, Milo dan banyak lagi. Ada sesuatu yang cukup istimewa kerana saya melihat telur separuh masak dan secawan kopi dinikmati bersama, ini sesuatu yang baharu bagi saya – tetapi kata pengunjung di sana itu satu keunikan menu.

Ketika berkunjung di warung itu juga kami terserempak dengan pengunjung dari Sarawak yang tidak melepaskan peluang untuk menikmati sarapan pagi di tempat istimewa itu. Meskipun keadaan di warung itu penuh tetapi pelanggan yang datang sanggup menunggu demi secangkir kopi Asiang.

Hari ini juga kami berpeluang untuk mencuba makanan di restoran makanan segera, Ini Ayam Budi yang menyajikan makanan seperti ayam goreng, air minuman dengan nama istimewa seperti es doger yang seakan-akan air bandung di sini.

Selepas makan, kami berkunjung ke Rumah Radakng yang merupakan replika rumah panjang masyarakat Dayak di sini dan Rumah Melayu yang menjadi mercu tanda identiti masyarakat Melayu Kalbar. Kedua-dua tempat ini juga boleh ditempah untuk acara termasuk perkahwinan.

Sebelum kami meneruskan perjalanan ke Singkawang pada petang itu, kami singgah di Taman Khatulistiwa dan berkunjung ke Monumen Tugu Khatulistiwa – lokasi penting yang menandakan kedudukan Pontianak tepat di garis Khatulistiwa. Bagi saya, tidak lengkap kunjungan jika tidak berkunjung di sini dan pulang kita juga diberikan sijil.

Setiap lokasi mempunyai ceritanya yang tersendiri—daripada seni bina, sejarah masyarakat, hinggalah makanan yang membentuk identiti Pontianak sebagai sebuah kota yang kaya budaya dan tradisi. Cerita lawatan ini belum terhenti setakat ini, nantikan artikel seterusnya yang akan membawa pembaca melihat keindahan dan keunikan Singkawang pula.

Menu yang ditawarkan di Kapuas River Cruise.
Menu pisang susu keju hanya RM3.72 (15,000 rupiah).
Menu yang disajikan di Restoran Sari Bento.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU