KOTA SAMARAHAN: Kehebatan regu Betong ‘B’ begitu sukar ditandingi apabila berjaya merangkul gelaran juara kategori Regu Belia Lelaki Bawah 20 Tahun, Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025.
Barisan pimpinan jurulatih berpengalaman luas, Fitri Ramzee Ramlee, tidak berdepan masalah menumpaskan Kuching dengan kemenangan (15–11, 15–12) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan sebentar tadi.
Regu Betong ‘B’ dibarisi Fellexter Bong (Tekong), Lent De Immanuel Lidom Ak Jubang (Apit Kiri), Sarip Ak Banyang (Apit Kanan), Junillson Uging Ak Jubang (Apit Kiri Simpanan), dan Immanuel Christopher Ak Lamit (Apit Kanan Simpanan).
“Cukup gembira dengan kejayaan pemain berjaya memastikan mereka (Betong ‘B’) muncul juara.
“Memang di awal saingan kami diberi tentangan oleh pemain lawan tetapi berjaya mengatasi tekanan tersebut,” ujar Fitri kepada Arena Suara Sarawak.
Kejayaan itu mengekalkan dominasi Bahagian Betong dalam kategori berkenaan.



