KUCHING: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri ini diminta untuk memastikan ketelusan, terutamanya dalam pentadbiran kewangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, berkata beberapa agensi telah diberi teguran mengenai isu ketelusan.
“Ini adalah bagi memastikan mereka lebih telus dalam pentadbiran kewangan dan pemberian kontrak.
“Selain itu, pihak kami juga mendapati ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM38 juta sejak tahun 2002 yang tidak dikutip.
“RM38 juta ini bukan dari tahun 2002, malah ia telah terkumpul selama 20 tahun dan tidak dikutip sehingga mencapai jumlah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama pihak Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Laporan Penyata Kewangan dan Anggaran Belanjawan Tahunan Bagi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak (CAPCOM) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Ujarnya, Premier memberikan cadangan agar agensi terbabit mewujudkan sistem kawal selia yang lebih baik di samping memaklumkan kepada mereka untuk membayar hutang.
Sekiranya perlu, tindakan perundangan perlu diambil.
Sehubungan itu, Juanda memberitahu bahawa pihak CAPCOM memberikan saranan terutamanya kepada sebahagian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyemak kembali kawal selia terhadap agensi-agensi mereka.
“Ini terutamanya GLC yang mempunyai anak-anak syarikat yang terlalu banyak dan sebahagian besarnya tidak aktif.
“Ia adalah bagi memastikan pengurusan kewangan GLC berkenaan efisien dan seterusnya tidak menjejaskan pendapatan pihak kerajaan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa empat daripada 52 agensi sahaja yang menerima teguran daripada audit negara.
“Ini adalah pencapaian yang amat baik untuk Sarawak dan agensi yang menerima teguran hanya melibatkan isu teknikal semata-mata.
“Walau bagaimanapun, Premier tetap menyarankan agar audit kita bersih dan mahukan penambahbaikan,” katanya lagi.
Di samping itu, Premier juga menyarankan agar laporan bulanan perbelanjaan daripada setiap agensi perlu memastikan aliran tunai kerajaan sentiasa berada dalam kawalan yang baik dengan cara memberikan belanja hanya perlu sahaja.




