KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membolehkan fokus lebih mendalam diberikan kepada pembangunan dan komuniti di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, agensi pembangunan luar bandar seperti Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) boleh diperkasakan di bawah kementerian yang dicadangkan itu.
Katanya, seiring peningkatan tanggungjawab Kerajaan Sarawak, saiz badan eksekutif juga perlu berkembang secara berkadar bagi memastikan pengurusan yang lebih berkesan.
“Bagi mengekalkan momentum ini, kita memerlukan sebuah Kabinet yang lengkap dari segi struktur untuk mengurus portfolio yang semakin berkembang.
“Penambahan jumlah menteri membolehkan tanggungjawab yang lebih fokus, khusus dan terurus sekali gus memastikan setiap kementerian dapat berfungsi dengan lebih mendalam, cekap serta bertanggungjawab, lebih penting dengan kadar yang lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Tambahnya, penambahan jumlah menteri juga membolehkan Premier mewujudkan kementerian baharu dan melantik seorang menteri bagi meneliti keperluan rakyat dengan lebih responsif, memastikan setiap wilayah sama ada kawasan pesisir, tanah tinggi, pedalaman luar bandar atau bandar menerima perhatian khusus.
“Pindaan ini meningkatkan keupayaan kita untuk berkhidmat kepada setiap rakyat Sarawak, tidak kira di mana mereka tinggal.
“Sebagai wakil rakyat kawasan luar bandar yang sangat luas, kami melihat pindaan ini sebagai peluang untuk memberi tumpuan lebih kepada pembangunan luar bandar dan sektor berkaitan termasuk keperluan hari ini dan sektor baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, seiring dengan pengembalian dan pelaksanaan kuasa autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak kini memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Menurutnya, tanggungjawab ini bukan perkara kecil, kerana ia memerlukan kepimpinan yang kukuh, pengawasan yang khusus dan kapasiti pentadbiran yang mampu memastikan autonomi tersebut diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat.
“Empat belas menteri akan membolehkan Sarawak memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang diserahkan ini, mengelak beban dan memperkukuh jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.

