KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara menggesa pihak penguat kuasa menyiasat kontroversi yang didakwa menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, sekiranya wujud unsur pelanggaran undang-undang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau memandang serius akan kontroversi tersebut.
“Saya memohon kementerian dan agensi penguat kuasa berkaitan meneliti perkara ini serta menjalankan siasatan sewajarnya sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574] serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].”
“Saya juga mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf.”
“Selain itu, saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, walau apa sekalipun niat di sebalik sesuatu analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, para agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh.
Beliau menegaskan bahawa terdapat batas yang mesti dihormati dalam sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan kepercayaan.
“Agama bukan bahan jenaka.”
“Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan.”
“Perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama serta menjejaskan keharmonian yang telah kita bina bersama selama ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak pernah bermaksud bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain.
Prinsip ini mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik.
“Ini juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan, yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat,” tegasnya lagi.




