KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan tiada halangan terhadap permohonan Kerajaan Negeri Sarawak supaya Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Bintulu, berbanding Muara Tebas yang dikenal pasti sebelum ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian akan mengemukakan kertas sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kerajaan bagi mendapatkan keputusan berhubung cadangan penempatan markas berkenaan di Bintulu.
“Kementerian Pertahanan sedang menimbangkan permintaan Kerajaan Negeri Sarawak supaya dipertimbangkan semula penempatan Mawilla 4 di Bintulu.
“Dari segi dasarnya, kementerian tiada halangan dan kami akan mengangkat satu kertas sidang MKN kepada kerajaan untuk mendapatkan keputusan supaya menerima dan bersetuju dengan penempatan lokasi Mawilla 4 di Bintulu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Saratok berhubung cadangan pemindahan Mawilla 4 dan keperluan mengekalkan pangkalan tentera laut di Bintulu.
Sebelum ini, lokasi pembinaan Mawilla 4 dikenal pasti di Muara Tebas, Kuching selepas cadangan awal untuk membinanya di Bintulu dipinda susulan beberapa faktor, termasuk kesesuaian lokasi dan kos penyelenggaraan infrastruktur marin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata Tentera Darat Malaysia telah membina dan menduduki lapan pos baharu di sempadan Malaysia-Indonesia bagi tempoh 2024 hingga 2026 manakala sebuah lagi dijangka siap pada Disember ini.
Beliau berkata dua pos baharu turut dirancang dibina pada 2027 bagi memperkukuh pemantauan dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan sempadan.
“Rondaan ini turut disokong oleh Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau dron taktikal bagi tinjauan udara, khususnya di kawasan yang sukar diakses. Kedua, dari segi teknologi, Security Intrusion Detection Systemdigunakan di lokasi berisiko bagi mengesan pencerobohan dan memberi amaran awal.
“Sistem Starlink, ConnectMe dan X-band pula dipasang di beberapa pos kawalan bagi memperkukuh komunikasi serta mempercepatkan penyampaian maklumat operasi,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut menyasarkan penambahan penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia di Sabah dengan mengambil kira keluasan kawasan operasi serta keperluan keselamatan setempat.
Sementara itu, kerajaan dijangka membuat keputusan bulan depan berhubung pemilihan peluru berpandu pengganti Naval Strike Missile (NSM) bagi kapal tempur pesisir (LCS) susulan Norway tidak meluluskan lesen eksport sistem berkenaan.
Mohamed Khaled berkata tiga negara dikenal pasti sebagai pilihan pembekal pengganti ialah Perancis, Itali dan Turkiye manakala kerajaan turut meneliti kemungkinan menggunakan sistem peluru berpandu yang sama seperti yang sedang diperoleh untuk kapal Misi Littoral (LMS) bagi mengurangkan kos tambahan.
“Kami telah mengenal pasti tiga negara, iaitu Perancis, Itali dan Turkiye. Insya-Allah, bulan depan kerajaan akan membuat keputusan,” katanya.- BERNAMA





