KUCHING: Kempen pembelian minyak masak terpakai dan E-sisa (alat elektronik lama/rosak) dijadualkan berlangsung di Tebingan Sungai Sri Aman pada Sabtu ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Timuran Kembangan Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang dilesenkan dan terbabit dalam mengendalikan sistem bersepadu sepenuhnya berkaitan sisa berkenaan.
Pengarah urusan, Johnny Ting Su King berkata, program tersebut bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Kita menyeru orang ramai terutama warga Sri Aman untuk bersama-sama menjayakan kempen berkenaan.
“Pihak kami menerima minyak masak terpakai dan alat elektronik terpakai atau rosak pada hari itu kelak,” ujar Datuk Johnny kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut beliau, sokongan daripada masyarakat setempat dalam menjayakan kempen amat diperlukan.
Beliau akui, ia merupakan pertama kali kempen berkenaan dilaksanakan di bandar yang terkenal dengan fenomena benak ini.
Beliau menambah, pelaksanaan kempen seumpama ini amat penting kerana secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab.
Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar secara mampan.


