KUCHING: Kebolehcapaian internet di seluruh pelusuk negara memainkan peranan penting dalam memastikan semua rakyat menikmati akses yang disediakan.
Bagaimanapun konteks akses internet itu bukan sekadar boleh dicapai semata-mata, sebaliknya memanfaatkan internet dengan penuh faedah.
Pengarah HAUS KCH, Ashweein Narayanan berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan KRYSS Network dan Yayasan WISDOM Sabah untuk melaksanakan Kempen Internet Kita yang bertujuan untuk mempromosikan kepentingan akses internet bagi pemerkasaan taraf hidup.
“Kita telah menjalankan kempen ini sejak Februari lalu termasuk mengadakan sesi dialog bersama pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
“Ia berjalan dengan lancar, kita juga mendapat maklumat balas dari peringkat akar umbi mengenai perkara ini dan ia akan dibawa bersama ketika sesi dialog seterusnya bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil,” katanya.
Bercakap mengenai akses internet yang bermakna, kata Ashweein, ia sebenarkan ditakrifkan dengan maksud yang lebih besar dan dalam.
Berdasarkan kajian katanya setakat ini kira-kira 92 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada internet.
“Walaupun dari segi angkanya agak besar, namun di Sarawak kebolehcapaian internet dan telekomunikasi sedang giat dilaksanakan.
“Sudah tentu isu utama ketika ini masih berkaitan infrastruktur dan akses di kawasan luar bandar.
“Perkara itu yang harus kita selesaikan segera tetapi dengan kempen ini, bukan sahaja fokus kepada menyediakan akses internet tetapi memberikan akses yang lebih bermakna,” katanya.
