KUCHING: Masyarakat di sekitar Sri Aman diseru menyertai kempen pembelian minyak masak terpakai dan e-sisa (alat elektronik lama atau rosak) yang akan diadakan di stesen Petronas Pekan Lachau, esok.
Program berkenaan dianjurkan oleh Timuran Kembangan Sdn. Bhd., sebuah syarikat berlesen yang mengendalikan sistem bersepadu pengurusan sisa berkenaan.
Pengarah Urusannya, Datuk Johnny Ting Su King berkata, program itu akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.
“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai, khususnya warga Sri Aman, untuk bersama-sama menjayakan kempen ini dengan menjual minyak masak terpakai serta peralatan elektronik lama atau rosak,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut beliau, kempen itu merupakan lokasi kedua di Bahagian Sri Aman selepas penganjuran di Tebingan Sungai Sri Aman (Waterfront Sri Aman) pada hujung minggu lalu.
Katanya, sokongan masyarakat amat penting bagi memastikan kejayaan program tersebut serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa secara betul.
Beliau berkata, kempen seumpama itu juga mampu mendidik masyarakat tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar secara lebih mampan.

