ARTIKEL

Gambar hiasan Pixabay

Kenaikan paras laut ancam Pasifik Barat Daya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GENEVA: Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberi amaran bahawa pemanasan laut, kenaikan paras laut dan gelombang haba marin yang semakin kerap kini menjadi ancaman besar kepada mata pencarian, ekonomi, ekosistem serta komuniti pesisir pantai yang rentan di Pasifik Barat Daya, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Amaran itu dikeluarkan selepas rantau berkenaan merekodkan tahun kedua paling panas dalam sejarah pada 2025, menurut laporan terbaharu “State of the Climate in the South-West Pacific” yang diterbitkan agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Menurut laporan berkenaan, 2025 merupakan tahun kedua paling panas di Pasifik Barat Daya sejak rekod bermula, hanya di belakang 2024.

Cuaca ekstrem sepanjang tahun itu turut menyebabkan kerugian ekonomi yang besar serta kehilangan nyawa.

“Bagi banyak negara dan wilayah di Pasifik Barat Daya, lautan menjadi nadi kepada mata pencarian, ekonomi dan daya tahan,” kata Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo dalam satu kenyataan.

Beliau berkata rantau itu berdepan pelbagai kesan perubahan iklim sepanjang tahun, termasuk pemanasan laut, kenaikan paras laut, gelombang haba marin, pengasidan laut, siklon tropika dan kehilangan glasier tropika yang berterusan.

Laporan itu turut menyatakan gelombang haba marin menjejaskan hampir seluruh Pasifik Barat Daya pada 2025, menjadikannya kejadian paling meluas pernah direkodkan dalam tahun tanpa El Nino.

Keadaan itu disifatkan membimbangkan kerana El Nino yang berpotensi kuat kini sedang berkembang, sekali gus meningkatkan risiko gelombang haba marin yang lebih meluas pada 2026.

Menurut laporan itu, kandungan haba laut mencatat paras rekod di selatan Australia, selatan Laut Tasman dan beberapa kawasan tropika di Pasifik Utara.

Keadaan itu menyumbang kepada kematian ikan serta gangguan terhadap sektor perikanan dan akuakultur.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa glasier tropika terakhir di Indonesia kini hanya berbaki kira-kira dua peratus daripada keluasan yang direkodkan pada 1988 dan dijangka lenyap menjelang akhir 2026 atau awal 2027.

Paras laut di seluruh rantau itu pula meningkat secara purata 3.7 milimeter setahun antara 1999 hingga 2025, sekali gus mengancam negara pulau berkedudukan rendah dan komuniti pesisir pantai.

Kejadian cuaca paling banyak mengorbankan nyawa pada tahun itu ialah Siklon Senyar, iaitu siklon tropika pertama yang diketahui mencapai kekuatan siklon di Selat Melaka.

Siklon itu menjejaskan lebih 10 juta orang di Indonesia dan Malaysia serta mengorbankan lebih 1,200 nyawa.

Menurut laporan itu, amaran awal dan penyelarasan di peringkat tempatan membantu mengurangkan jumlah korban ketika ribut berkenaan.

Bagaimanapun, laporan itu turut menekankan masih terdapat kelemahan dalam penyampaian amaran hingga ke peringkat komuniti paling berisiko, khususnya komuniti pesisir pantai dan nelayan.

“Amaran awal dan tindakan awal menyelamatkan nyawa apabila amaran dikeluarkan tepat pada masanya, mesej dipercayai dan penyampaian sampai kepada golongan rentan,” kata Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia dan Pasifik, Armida Salsiah Alisjahbana. – Bernama-Anadolu

BERITA LAIN

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU