SEHARI sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, saya mengajak beberapa rakan sepejabat meneka warna baju Melayu yang dikenakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Meskipun saya tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya antara rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk menantikan pengumuman tarikh hari lebaran oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini.
Ini menjadi salah satu aktiviti bagi saya untuk meneka warna baju Melayu yang dikenakan oleh Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semasa pengumuman tersebut.
Seingat saya, setiap tahun saya akan melihat susuk lelaki ini di kaca televisyen pada jam 8.00 malam. Beliau duduk tenang sambil membuat pengisytiharan penetapan tarikh Hari Raya Puasa.
Beliau dipertanggungjawab untuk memberitahu rakyat Malaysia tarikh Hari Raya Aidilfitri di negara ini.
Pengumuman ini dibuat setelah memenuhi semua prosedur yang ditetapkan antaranya, “Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negerinegeri seluruh Malaysia….” Tahun lepas saya melihat Syed Danial Syed Ahmad mengenakan baju Melayu berwarna cream semasa sesi pengumuman tersebut.
Tahun ini, warna apa pula?
Ini yang cuba diteka oleh saya dan beberapa rakan pada malam tersebut.
TERUJA
Meskipun rakan-rakan saya berdebar-debar menanti pengumuman raya, kami turut teruja meneka warna baju Syed Danial Syed Ahmad pada malam tersebut.
Pada malam itu, saya memilih warna pink lembut manakala antara warna yang dipilih oleh rakan-rakan saya pula adalah hitam, khaki, champagne dan biru laut.
Beberapa saat selepas jam 8.00 malam Khamis itu, Syed Danial Syed Ahmad akhirnya muncul di kaca televisyen, dan beliau dilihat mengenakan baju Melayu warna seakan-akan hijau gelap.
Walaupun semua jangkaan warna kami salah, namun kami tetap tersenyum gembira. Hari ini, suasana raya masih terasa di setiap penjuru rumah. Meskipun sudah separuh bulan Syawal, di Sarawak sambutan Hari Raya Aidilfitri masih diraikan dengan penuh gembira.
Buktinya, ramai orang masih mengenakan baju raya masingmasing semasa berkunjung ke rumah saudara-mara, sahabat handai atau majlis ramah-tamah raya yang dianjurkan.
Malah, ada juga orang awam dilihat mengenakan baju raya mereka semasa keluar membelibelah di pasar raya, pusat belibelah, keluar makan, menonton wayang atau sekadar bertemu rakan di kedai kopi.
SEDONDON
Saya sendiri pernah melihat ramai yang memakai baju kurung atau raya ketika keluar membelibelah dengan adik di sebuah pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini pada minggu kedua raya.
Di kiri kanan, kelihatan ramai ahli keluarga malah sahabat handai sedondon berbaju raya. Sama ada mengenaka baju raya baharu atau baju raya tahun-tahun sebelumnya, pakaian tersebut boleh memberi aura gembira kepada si pemakai.
Pendek kata, dia akan berasa positif, bangga dan mempunyai perasaan baik sepanjang hari ketika ngabang raya!
Ya, saya pernah merasai perasaan tersebut semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga sahabat saya di Tambun, Perak dulu.
Selama empat tahun melanjutkan pengajian di Shah Alam, setiap kali Hari Raya Aidilfitri, saya akan beraya bersama-sama keluarganya.
Sahabat saya ini mempunyai lima adik-beradik dan satuseorangnya lelaki — adik bongsunya. Saya masih ingat, ketika itu adiknya yang dipanggil Ucu masih di bangku sekolah menengah dan paling manja dengan semua kakaknya.
Apa-apa jua pilihan warna tema raya mereka, dia akan mengikut meskipun warna pilihan kakaknya itu pink!
Memandangkan dia satusatunya adik lelaki selain bapa sahabat saya, keluarga ini suka memilih baju raya satu warna.
Oleh itu, kakak sulung sahabat saya yang bekerja di Perlis biasanya akan membeli beberapa meter kain ela untuk keluarganya.
Selepas itu, kakak sahabat saya mengupah tukang jahit di kampung mereka untuk membuat baju raya untuk keluarganya mengikut fesyen pilihan masingmasing.
Biasanya baju raya ini ditempah tiga bulan sebelum raya dan ia siap tepat pada masanya memandangkan keluarga ini pelanggan tetap tukang jahit berkenaan.
PERAGA BAJU RAYA
Apabila Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba, lima adik-beradik ini sangat bangga menunjukkan baju raya masing-masing ketika menerima atau membuat kunjungan raya.
Semasa berkunjung ke rumah saudara-maranya pula, saya dapati setiap tetamu bangga memperagakan baju raya masing-masing.
Sebenarnya mengenakan baju raya dengan warna sedondon juga adalah perkara biasa setiap kali hari raya.
Jika dilihat di laman sosial, ramai keluarga atau pasangan akan berkongsi gambar raya mereka yang mengenakan warna baju yang sama.
Hingga kini, ia satu kenangan yang manis yang saya kenang sampai bila-bila.
Saya turut melihat bertapa akrab dan terujanya keluarganya ini menyambut raya.
Oleh itu, tidak kira apa jua perayaan, ia dapat menyatukan keluarga dan mengeratkan hubungan.


