Bahang Aidilfi tri sering hadir perlahan-lahan, menyelinap ke dalam jiwa sebaik sahaja menjelang malam tujuh likur (malam ke-27 dalam Ramadan).
Untuk pengetahuan, perkataan “likur” ialah istilah klasik Melayu yang merujuk kepada angka dalam lingkungan dua puluh hingga dua puluh sembilan.
Maka, “tujuh likur” secara khusus membawa maksud 27.
Kenangan lama kembali hidup – kenangan zaman kecil di kampung, ketika suasana raya diserikan dengan cahaya lampu pelita yang berkelip lembut di halaman rumah.
Tidak seperti hari ini yang dipenuhi lampu LED berwarnawarni, dahulu cahaya pelita buluh itulah yang menjadi simbol kemeriahan dan kehangatan sambutan Aidilfi tri.
Penulis masih ingat, setiap kali tiba malam tujuh likur, nenek menjadi orang paling sibuk di rumah.
Seawal petang, beliau sudah mengajak keluarga penulis serta cucu-cucunya berkumpul di bawah rumah untuk menyiapkan pelita buluh yang dipotong rapi.
Bau buluh segar bercampur dengan bau minyak tanah memenuhi ruang, sekali gus mencipta satu aroma yang hingga kini masih melekat kuat dalam ingatan.
Nenek akan mengajar penulis cara memasukkan sumbu dengan cermat serta memastikan sumbu tersebut tidak terlalu panjang atau terlalu pendek agar api dapat menyala dengan cantik.

Menjelang waktu maghrib, suasana mula berubah. Angin petang bertiup lembut, membawa bersama bunyi riuh rendah jiran tetangga yang turut sibuk menyiapkan pelita masingmasing.
Selepas solat, kami akan beramai-ramai keluar ke halaman.
Nenek, dengan senyuman yang tidak pernah lekang, menjadi orang pertama menyalakan pelita. Satu demi satu pelita dinyalakan, manakala kami pula membantu menyusunnya di sepanjang pagar, di tepi tangga dan di sekeliling halaman rumah.
Cahaya pelita yang malap tetapi hangat itu mencipta suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Cahaya tersebut bukan sekadar menerangi, tetapi seolah-olah membawa bersama rasa damai dan kebersamaan.
Penulis ketika itu, sebagai kanak-kanak, tidak pernah duduk diam.
Ada yang berlari-lari di antara pelita, ada yang sibuk mengira jumlahnya, malah ada juga yang cuba mencipta corak sendiri walaupun akhirnya dimarahi kerana mengganggu susunan yang telah dibuat.
Yang paling dirindui bukan sekadar pelita itu sendiri, tetapi suasana yang mengiringinya. Jiran tetangga akan datang berkunjung tanpa perlu dijemput. Ada yang membawa kuih raya, ada yang sekadar datang untuk berbual dan berkongsi cerita.
Gelak tawa memenuhi malam, manakala hubungan yang terjalin terasa begitu tulus. Malam tujuh likur menjadi titik pertemuan, tempat semua orang melupakan kesibukan dan berkumpul sebagai satu komuniti.
Nenek sering berkata pelita bukan hanya untuk mencantikkan rumah, tetapi juga sebagai tanda kegembiraan menyambut Syawal yang bakal tiba.
Katanya lagi, cahaya pelita melambangkan harapan dan kesyukuran setelah sebulan menunaikan ibadah puasa.
Walaupun ketika itu penulis masih kecil dan tidak begitu memahami maknanya, kini katakata itu terasa begitu mendalam.
Namun, masa terus berlalu. Pelita buluh semakin jarang kelihatan, digantikan dengan lampu LED yang lebih mudah dan praktikal.
Walaupun masih cantik dan memukau, ada sesuatu yang terasa hilang.
Mungkin kerana tiada lagi bau minyak tanah, tiada lagi tangan kecil yang kotor kerana menyiapkan pelita, dan tiada lagi suara nenek yang memberi arahan sambil tersenyum. Kini, setiap kali malam tujuh likur menjelma, penulis akan cuba menghidupkan kembali sedikit daripada kenangan itu.
Walaupun tidak sebanyak dahulu, saya tetap memasang beberapa pelita sebagai tanda menghargai tradisi yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak.
Dalam hati, penulis tahu cahaya pelita itu bukan sekadar untuk menerangi halaman, tetapi juga untuk menghidupkan kembali kenangan bersama-sama insan tersayang yang telah pergi.
Sesungguhnya, tradisi bertuntong bukan sekadar satu amalan budaya, tetapi juga warisan emosi yang menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu.
Tradisi ini mengajar kita tentang erti kebersamaan, kesederhanaan dan keindahan dalam perkara yang kecil.
Walaupun zaman telah berubah, nilai yang dibawa oleh cahaya pelita itu seharusnya terus kekal dalam hati kita.
Setiap kali melihat cahaya kecil itu berkelip di malam hari, penulis seolah-olah dapat melihat kembali wajah nenek— tenang, penuh kasih dan sentiasa menjadi cahaya dalam hidup kami sekeluarga.



