ARTIKEL

Datuk Seri Lee Kim Shin.

Kenderaan komersial wajib pasang SLD bermula 1 Julai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Peranti Had Kelajuan (SLD) mandatori ke atas kenderaan komersial terus diperluas secara berperingkat di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dengan Fasa 2 bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini dalam usaha memperkukuh keselamatan jalan raya di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan Fasa 2 melibatkan pengaktifan SLD melalui Unit Kawalan Elektronik (ECU) bagi kenderaan komersial yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2015, termasuk kenderaan bina semula dan import terpakai dalam kategori sama.

“Seterusnya, Fasa 3 akan bermula 1 Julai 2026 dengan pemasangan retrofit peranti SLD yang diluluskan JPJ bagi kenderaan barangan dan penumpang yang ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan berperingkat itu turut disokong dasar dan keperluan baharu di bawah arahan teknikal terkini Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).

“Bermula 1 Julai ini, pemasangan SLD diwajibkan bagi semua kenderaan komersial yang menjalani pemeriksaan awal dan berkala.

“Ini termasuk kenderaan Kategori M3 seperti bas ekspres dan bas persendirian melebihi 5,000 kilogram serta Kategori N2 dan N3 yang melibatkan kenderaan barangan melebihi 3,500 kilogram,”ujarnya.

Langkah ini dijangka meningkatkan pematuhan had kelajuan dan memperkukuh aspek keselamatan kenderaan berat di jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

Dalam perkembangan berkaitan keselamatan jalan raya, beliau berkata, data Polis Diraja Malaysia merekodkan sebanyak 7,545 kes kemalangan jalan raya di Sarawak sepanjang 2026 sehingga April ini.

“Daripada jumlah itu, 90 kes adalah kemalangan ringan, 45 kemalangan serius dan 128 kemalangan maut, manakala baki 7,282 kes hanya melibatkan kerosakan kenderaan.

“Sementara itu, kemalangan maut telah mengakibatkan 139 kematian, manakala kemalangan serius menyebabkan 64 kecederaan parah dan kemalangan ringan melibatkan 128 kecederaan ringan, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 331 orang,”tambahnya.

Data turut menunjukkan kereta menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan kemalangan, diikuti kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

“Sebanyak 58,992 saman kesalahan trafik utama telah dikeluarkan antara Januari hingga April 2026 di Sarawak.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah memandu laju sebanyak 57,842 saman, diikuti penggunaan telefon bimbit ketika memandu (327), melanggar lampu isyarat merah (255), memotong barisan (386) dan memotong garisan berkembar (182),”jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata dapatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh budaya pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Justeru, kami akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak bersama PDRM, JPJ dan JKR Sarawak serta agensi berkaitan dalam melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya.

“Antara inisiatif itu termasuk kempen kesedaran keselamatan jalan raya semasa musim perayaan di jalan utama serta Lebuh Raya Pan Borneo.

“Tahun ini, kempen berjaya diadakan di Sibu dan Miri sempena Tahun Baharu Cina, serta di Miri dan Bintulu sempena Hari Raya Aidilfitri, manakala tiga lagi kempen dijadual berlangsung di Miri, Betong dan Samarahan bersempena sambutan Hari Gawai Dayak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU