ARTIKEL

‘Kepimpinan bukan sekadar memberikan arahan’ – Cef Amir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengalaman mengetuai kira-kira 350 kakitangan dapur di kapal persiaran antarabangsa mengajar Cef Amir Jaafar bahawa kepimpinan bukan sekadar memberikan arahan, sebaliknya menuntut keupayaan memahami, mendengar dan membimbing setiap individu dalam pasukan.

Bagi Cef Eksekutif Hotel Riverside Majestic Astana Wing dan Puteri Wing itu, menguruskan operasi dapur berskala besar yang menyediakan ribuan hidangan setiap hari memerlukan kerjasama, disiplin dan sikap saling menghormati demi memastikan operasi berjalan lancar tanpa menjejaskan kualiti makanan.

Menurut Amir, cabaran mengetuai ratusan kakitangan daripada pelbagai latar belakang bukan sahaja tertumpu kepada pengurusan operasi, malah memahami perbezaan personaliti, pengalaman dan cara bekerja setiap individu.

Cef Amirudin Jaafar

“Malah, ketika bertugas di kapal persiaran, saya sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan kakitangan yang berjauhan daripada keluarga dan berdepan pelbagai cabaran peribadi.

“Menguruskan kira-kira 350 kakitangan bermakna saya perlu memahami individu yang mempunyai personaliti, pengalaman dan cara bekerja berbeza.

“Ada kalanya, seorang ketua perlu menjadi pendengar, rakan atau tempat kakitangan berkongsi masalah,” katanya dalam wawancara khas bersama Suara Sarawak, hari ini.

Amir berkata, pengalaman tersebut membentuk pendekatan kepimpinannya yang menekankan hubungan baik antara ketua dengan kakitangan, selain memastikan setiap individu memahami tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, dalam persekitaran hotel, seorang ketua juga perlu menghargai pengalaman pekerja kanan yang mungkin lebih berusia atau mempunyai pengetahuan lebih luas dalam bidang tertentu.

“Bagi saya, kepimpinan bukan sekadar memberikan arahan, tetapi membina kerjasama berasaskan rasa hormat dan saling mempercayai,” katanya.

Prinsip itu kini menjadi antara asas pendekatannya dalam membimbing pasukan kulinari di Riverside Majestic, khususnya kakitangan muda yang ingin mengembangkan kemahiran dan membina kerjaya dalam industri hospitaliti.

Beliau berkata, golongan muda perlu diberikan peluang mencuba perkara baharu, termasuk menyertai pertandingan kulinari bagi meningkatkan keyakinan serta memperoleh pengalaman di luar tugasan harian.

Pendekatan tersebut mula membuahkan hasil apabila seorang kakitangan hotel berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan kulinari di Kuching walaupun baru pertama kali mengambil bahagian.

“Bagi saya, kemenangan bukan matlamat utama. Pengalaman, disiplin dan keyakinan yang diperoleh jauh lebih penting untuk perkembangan kerjaya mereka,” jelasnya.

Mengimbas perjalanan kerjayanya, Amir berkata, minat terhadap dunia masakan bermula sejak kecil apabila sering memerhatikan ibunya menyediakan makanan di rumah.

Minat itu kemudian berkembang menjadi kerjaya profesional apabila beliau mula bekerja di sebuah hotel di Melaka pada 1990 sebelum menimba pengalaman di beberapa hotel bertaraf lima bintang dan kapal persiaran antarabangsa, termasuk Royal Caribbean.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam industri berkenaan, beliau mempelajari pelbagai aspek pengurusan dapur, penyediaan hidangan berskala besar serta kepentingan mengekalkan kualiti makanan dalam persekitaran kerja yang mencabar.

Pengalaman tersebut mengajarnya bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang dalam struktur dapur profesional, semakin besar tanggungjawab yang perlu dipikul, khususnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Sehubungan itu, golongan muda diingatkan supaya tidak melihat kerjaya sebagai cef semata-mata dari sudut kemewahan atau penampilan profesional kerana bidang tersebut menuntut disiplin, komitmen dan daya tahan yang tinggi.

Katanya, waktu bekerja yang panjang, tekanan operasi serta keperluan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan ialah antara realiti yang perlu dihadapi oleh mereka yang memilih profesion berkenaan.

Beliau berkata, kelayakan akademik memberikan asas yang penting, tetapi pengalaman praktikal tetap diperlukan untuk membentuk kemahiran sebenar.

“Dalam bidang kulinari, kejayaan tidak datang serta-merta. Ia memerlukan latihan berterusan, kesediaan belajar daripada kesilapan dan usaha memperbaiki diri,” katanya.

Amir berharap lebih ramai belia Sarawak berminat meneroka peluang kerjaya dalam industri hospitaliti, termasuk melalui pekerjaan sambilan atau latihan praktikal sebagai pendedahan awal kepada suasana dapur profesional.

BERITA LAIN

PBT penghubung penting rakyat dan kerajaan

KUCHING: Usaha membina bandar yang bersedia menghadapi masa hadapan menjadi tumpuan utama Forum Bandar Sarawak (SUF) 2.0, dengan penekanan terhadap kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT)

BERITA TERBARU

PBT penghubung penting rakyat dan kerajaan

KUCHING: Usaha membina bandar yang bersedia menghadapi masa hadapan menjadi tumpuan utama Forum Bandar Sarawak (SUF) 2.0, dengan penekanan terhadap kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT)