ARTIKEL

Kepimpinan PBS sokong Dr Joachim Gunsalam sebagai Pemangku Presiden PBS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA KINABALU, Sabah: Ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima keputusan presiden parti yang uzur, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, untuk bercuti dan menyerahkan tampuk kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, berkata ahli-ahli Majlis Tertinggi dan bahagian-bahagian sebulat suara menerima keputusan Ongkili untuk berundur dan memberi ruang kepada Gunsalam untuk menjadi pemangku presiden manakala ketua penerangan parti, Datuk Joniston Bangkuai, menjadi pemangku timbalan presiden menggantikan Dr Joachim.

Menurut Mandut, keputusan Ongkili untuk berehat sebagai presiden telah mendapat sokongan daripada para pemimpin di peringkat pusat dan bahagian.

Pengumuman mengenai perubahan barisan pemimpin tertinggi itu dibuat oleh setiausaha agung parti, Datuk Julita Majungki, pada 6 April lepas.

“Walaupun kita rasa sedih mengenai keputusan Ongkili untuk berehat, kami hanya ada pujian baginya. Beliau benar-benar seorang pemimpin yang hebat dan percaya beliau membuat keputusan itu demi kebaikan PBS.

“Saya pasti presiden telah melatih kedua-dua pemimpin itu dengan baik, dan dengan bimbingannya yang berterusan dan ketajaman pemikiran politik mereka, PBS pasti akan terbang lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa Sayap Pemuda berikrar untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada Dr Joachim dan Bangkuai.

Dr Joachim Gunsalam

Naib Presiden PBS, Datuk Daniel Kinsik, berkata ini adalah peluang bagi Dr Joachim untuk membuktikan kepimpinannya.

Dr Joachim adalah Timbalan Presiden bagi kuota Bumiputera bukan Muslim dalam PBS.

“Dengan ketiadaan Presiden yang tidak sihat, sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal parti di bawah pimpinannya (Dr Joachim).

“Saya percaya ia akan menjadi tempat latihan baginya untuk memimpin parti,” tambahnya.

Pasukan petugas itu turut dianggotai Bangkuai, dua lagi timbalan presiden, Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim, Majungki dan Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen.

Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau, berkata sayap wanita menyokong keputusan Ongkili kerana beliau memberikan keutamaan kepada parti dan kepentingan ahli untuk bergerak ke hadapan.

Sementara itu, presiden pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, menyifatkan keputusan Ongkili untuk menyerahkan kepimpinan parti kepada Gunsalam sebagai munasabah.

“Sebagai bekas presiden PBS, saya percaya peralihan adalah baik dan munasabah dan pasti memberi impak kepada parti untuk bergerak ke hadapan,” katanya menjawab pertanyaan pemberita baru-baru ini.

Pairin, 84, memberitahu Ongkili selama ini tidak sihat dan ada masalah bercakap kerana penyakitnya.

Menurut Pairin, keputusan Ongkili memberi peluang kepada kepimpinan parti untuk memberi tumpuan kepada perbincangan tentang satu pakatan pilihan raya bersama Sabah STAR yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, iaitu Timbalan Ketua Menteri I.

Katanya, ia adalah penting bagi PBS dan Sabah STAR untuk maju ke hadapan dengan bekerja sama menjelang pilihan raya negeri seterusnya.

Kedua-dua parti menganggotai pakatan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sedang berusaha untuk memastikan pendekatan bersatu atau perkongsian kerusi dalam pertandingan bagi kerusi-kerusi peribumi bukan Muslin dalam komuniti majoriti Kadazandusun, Murut dan Rungus.

“Saya harap perbincangan di antara PBS dan Sabah STAR mencapai keputusan yang positif di Sabah,” katanya sambil menambah beliau percaya kedua-dua parti merancang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Pairin sendiri memberi laluan kepada Ongkili untuk mengambil alih tampuk parti pada 2018.

Pairin kekal sebagai Penasihat Perdana PBS dan masih berpengaruh dalam kalangan pemimpin lama parti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU