KUCHING: Keputusan peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4 Sesi 2/2025 akan diumumkan pada Khamis ini, 30 April.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan semua calon boleh memperoleh keputusan peperiksaan di kolej masing-masing mulai jam 10.00 pagi pada tarikh tersebut.
“Calon juga boleh memperoleh keputusan peperiksaan secara dalam talian melalui pautan myresultsvm.moe.gov.my mulai jam 10 pagi sehingga 6 petang pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KPM berkata seramai 16,240 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SVM sesi berkenaan di 86 kolej vokasional di seluruh negara.
“KPM mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dalam bidang kemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang progresif dan berdaya saing,” jelas kenyataan itu lagi.
SVM ialah sijil akademik dan kemahiran tahap tiga yang diiktiraf setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Ia merupakan program dua tahun dengan empat semester di kolej vokasional selepas tingkatan 3, membolehkan lulusan terus bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Vokasional Malaysia (DVM).



