KUCHING: Keputusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menentukan calon akan disokong tanpa sebarang bantahan bagi memastikan kesepakatan parti dan kelancaran persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menyatakan kesediaan menerima apa-apa sahaja keputusan Premier Sarawak.
“Abang Johari sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai hak untuk menentukan calon yang akan mewakili parti dalam pilihan raya.
“Kita akur dan menerima apa-apa sahaja keputusan yang akan diputuskan oleh beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sidang media Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Persada Majma, Aras 17, pusat beli-belah Majma di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau merangkap penyandang kerusi DUN Pantai Damai mendedahkan pembangunan yang di bawa di kawasannya merangkumi penempatan Darul Hana.
Selain, pembinaan laluan hijau sistem pengangkutan baharu Kuching serta pembangunan kampus baharu Universiti Kolej i-CATS di kawasan seluas 200 ekar.
Menurutnya, usaha pembangunan di bawah kepimpinan Premier Sarawak itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah menyediakan peluang pendidikan, meningkatkan sosioekonomi dan keselesaan generasi akan datang.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak supaya memberikan sokongan kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan perancangan pembangunan dapat diteruskan secara menyeluruh.
Sementara, Abdul Rahman telah berkhidmat sebagai wakil rakyat sepanjang lima penggal sejak tahun 2001.
Pada pilihan raya yang lalu, beliau mencatat majoriti 8,381 undi dengan memperoleh 10,699 undi, menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu, Mahmud Sabli (2,318 undi).




