ARTIKEL

Fatimah bercakap kepada pemberita selepas memperkenalkan rakan strategik baharu Kenyalang Gold Card, Jen Lim Convenience Store, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Kerajaan akan umum langkah atasi beberapa isu SKAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan langkah penyelesaian bagi mengatasi beberapa isu berkaitan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata ia bagi memastikan pelaksanaan bantuan berjalan lancar, terutamanya bagi golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, gelandangan dan pesakit terlantar.

Sambil mengakui terdapat beberapa cabaran awal yang perlu ditangani, termasuk isu pendaftaran dalam aplikasi S Pay Global, Fatimah menekankan bahawa masalah utama yang dihadapi adalah kesukaran bagi segelintir penerima bantuan untuk mengakses teknologi dan Internet.

“Ramai dalam kalangan penerima bantuan, terutama di kawasan pedalaman, tidak mempunyai telefon pintar untuk memuat turun aplikasi berkenaan, di samping isu tiada liputan Internet.

“Ini menyebabkan mereka sukar untuk mendaftar melalui S Pay Global.

“Justeru, saya difahamkan pihak Unit Perancang Ekonomi Sarawak bermesyuarat pada hari ini bagi mencari penyelesaian tuntas supaya tiada golongan terpinggir kerana kekangan teknologi.

“Jadi kita berharap hasil mesyuarat tersebut dan langkah penyelesaian akan diumumkan segera kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan serta memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memperkenalkan rakan strategik baharu Kenyalang Gold Card, Jen Lim Convenience Store, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah menyeru rakyat untuk yakin dan percaya terhadap Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan inisiatif tersebut setelah peruntukannya diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

“SKAS ini adalah inisiatif yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu dan peruntukan telah tersedia.

“Pelaksanaannya pasti akan menghadapi cabaran pada peringkat awal, tetapi kerajaan komited untuk menyelesaikan setiap isu yang timbul.

“Kami sedang berusaha keras untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan, mendapat bantuan dengan cepat dan efisien,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar sabar dan tidak terburu-buru untuk mendaftar SKAS, memandangkan permohonannya dibuka sepanjang tahun ini.

Dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 pada November tahun lepas, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengumumkan SKAS dengan jumlah bantuan sekali bayar antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kategori kelayakan penerima, iaitu bujang, isi rumah dan warga emas.

Ujarnya, jumlah penerima SKAS yang layak adalah 886,288 orang, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM464.5 juta berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Bantuan itu akan dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun aplikasi e-dompet S Pay Global penerima bermula bulan hadapan, sementara Kerajaan Negeri berusaha untuk memastikan proses penebusan lebih lancar dalam tempoh enam bulan ini.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU