KUCHING: Pihak kerajaan dan badan-badan korporat disarankan untuk melaksanakan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di klinik-klinik kesihatan seluruh negeri bagi menambah baik fasiliti serta kemudahan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia susulan klinik kesihatan memainkan peranan penting dalam menyediakan saringan, tapisan dan rawatan awal bagi seluruh lapisan masyarakat.
“Sudah tiba masanya pihak kementerian berkaitan, termasuk semua badan korporat dan badan berkanun yang terdapat di Sarawak, mahupun di Malaysia menjalankan lebih banyak aktiviti CSR di klinik-klinik kesihatan
“Ia kerana klinik-klinik kesihatan kita, terutamanya di luar bandar kekurangan peralatan perubatan dan amat memerlukan sumbangan peralatan penjagaan kesihatan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.
ADUN Pantai Damai itu berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Peralatan Perubatan Asas anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Klinik Kesihatan Santubong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, ia berikutan sejak dahulu lagi kemudahan, bantuan dan peralatan perubatan tertumpu kepada hospital-hospital besar di kawasan bandar utama dan klinik bahagian.
“Namun keperluan kesihatan di peringkat klinik kesihatan sebenarnya adalah lebih kritikal kerana di sinilah tempat saringan dan rawatan awal dijalankan.
“Oleh itu, kita amat memerlukan peningkatan fasiliti serta peralatan perubatan di sini kerana lazimnya orang ramai akan melakukan pemeriksaan dan rawatan terlebih dahulu, sebelum ke hospital sekiranya penyakit berkenaan tidak dapat dirawat,” jelasnya.
Dalam pada itu jelasnya, pendekatan tersebut selaras dengan peningkatan penyakit kronik seperti serangan jantung, darah tinggi, strok dan kencing manis yang menyerang generasi muda.
“Pengesanan awal adalah penting, terutamanya apabila penyakit moden semakin menjejaskan generasi muda apabila ramai yang menghidap diabetes dan darah tinggi yang dahulu dianggap disebabkan keturunan, namun kini menyerang mereka kerana pemakanan tidak sihat dan gaya hidup,” jelasnya.
Sementara mengenai sumbangan terhadap Klinik Kesihatan Santubong itu, beliau berkata ia melibatkan sejumlah 31 jenis peralatan perubatan dan bukan perubatan bernilai sekitara RM53,042.
“Program CSR ini memberi sumbangan kepada sebuah klinik di bawah satu DUN.
“Memandangkan DUN Pantai Damai mempunyai sejumlah empat klinik kesihatan, maka pusat khidmat saya akan menyumbangkan peruntukan yang sama sekitar RM53,000 untuk membeli peralatan yang diperlukan kepada Klinik Kesihatan Buntal dan Klinik Kesihatan Telaga Air,” ujarnya.
Tegasnya, inisiatif berkenaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan menyeru masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan mengenai fasiliti serta kemudahan yang diperlukan di kawasan mereka.
Hadir sama, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu dan Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.


