VILNIUS: Kerajaan baharu Lithuania mengangkat sumpah jawatan pada Selasa, empat minggu selepas pentadbiran terdahulu berakhir susulan rombakan gabungan pemerintah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Barisan menteri daripada gabungan berhaluan tengah kiri yang diterajui Perdana Menteri daripada Parti Demokratik Sosial, Mindaugas Sinkevicius, 42, mengangkat sumpah jawatan di Parlimen Lithuania di Vilnius.
Terdahulu, Seimas, iaitu parlimen negara itu, meluluskan program kerajaan baharu dengan 72 undi menyokong, 29 menolak dan empat berkecuali.
Pelantikan serta pengesahan Kabinet baharu itu dibuat susulan rombakan gabungan pemerintah.
Pada pertengahan Jun, Parti Demokratik Sosial menamatkan kerjasama dengan parti populis Dawn of Nemunas dan menggantikannya dengan Democratic Union for Lithuania dalam gabungan kerajaan.
Gabungan baharu itu, yang turut disertai dua lagi rakan gabungan kecil, menguasai 75 daripada 141 kerusi di parlimen.
Sinkevicius merupakan Perdana Menteri ketiga daripada Parti Demokratik Sosial sejak pilihan raya parlimen pada musim luruh 2024.
Beliau menggantikan Inga Ruginiene, yang kembali menyandang jawatan terdahulunya sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial dan Buruh.
Program pentadbiran Sinkevicius sebahagian besarnya mengekalkan dasar kerajaan terdahulu dengan memberi penekanan khusus kepada aspek keselamatan. Lithuania berkongsi sempadan dengan wilayah eksklaf Rusia, Kaliningrad, serta Belarus, sekutu rapat Rusia.
Dari segi barisan Kabinet, Sinkevicius mengekalkan beberapa jawatan utama, termasuk Menteri Luar Kestutis Budrys dan Menteri Pertahanan Robertas Kaunas.
Sehubungan itu, dasar luar dan keselamatan Lithuania dijangka tidak mengalami perubahan ketara. Negara Baltik itu adalah anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sementara itu, Taurimas Valis dilantik sebagai Menteri Kewangan baharu bagi negara zon euro yang mempunyai hampir tiga juta penduduk itu. — BERNAMA-dpa



