ARTIKEL

Kerajaan dicadang tambah peruntukan bagi kerja-kerja pengukuran tanah NCR

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan dicadangkan untuk menambah peruntukan bagi kerja-kerja pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Baleh Nicholas Kudi Jantai.

Menurutnya, ia susulan masih banyak kawasan di Sarawak khususnya di DUN Baleh menunggu untuk disukat dan peruntukan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung permintaan semasa.

“Saya mohon agar peruntukan untuk mengukur perimeter tanah NCR diambil perhatian kerana masih banyak permohonan daripada pemilik tanah di kawasan saya menunggu untuk disukat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan, 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

“Kita sedia maklum bahawa kerja-kerja penyukatan ini memerlukan tenaga kerja yang banyak dan seperti semua tahu, kawasan Baleh dan Kapit amat luas.

“Kita perlu mencari kaedah dan inisiatif lain dengan melantik juruukur yang bertauliah dan berlesen untuk turut membantu turun padang,” jelasnya.

Dalam hal berlainan, beliau mencadangkan agar sebuah Pusat Pertumbuhan Desa diwujudkan di kawasan terpencil di negeri ini bagi menjana pendapatan tambahan penduduk tempatan.

“Saya sangat berharap Kerajaan Sarawak dan Jabatan Pertanian dapat mempertimbangkan permohonan saya ini untuk menubuhkan pusat tersebut terutamanya di kawasan luar bandar yang strategik dan terpilih khususnya di Baleh.

“Saya sangat yakin dan optimis ia mampu merancakkan lagi industri pertanian, penternakan dan perikanan untuk penduduk setempat. Ini secara tidak langsung dapat menjana pendapatan untuk mereka,” ujarnya.

Tambahnya, selain membuka peluang ekonomi, ia juga dapat menjadi pusat sehenti bagi penduduk tempatan menjual hasil mereka mengikut harga semasa tanpa melalui orang tengah.

Sementara itu, beliau turut memohon agar isu kesihatan penduduk luar bandar diberi perhatian kerana terdapat kegusaran dalam kalangan komuniti tempatan.

“Baru-baru ini wujud kegusaran dikalangan penduduk di Baleh berhubung dengan penyakit yang melibatkan kuman tanah yang berpunca daripada aktiviti di sungai. Hospital Kapit menerima kes kuman tanah dan kencing tikus yang tertinggi setakat ini.

“Penduduk di kawasan saya masih bergantung penuh kepada sungai sebagai sumber serta kegunaan harian seperti memasak, mandi dan sebagainya. Malah sumber air paip graviti disalur terus dari sungai-sungai yang berdekatan dengan rumah panjang.

“Namun, kualiti air sungai kini tidak seperti suatu ketika dahulu. Oleh itu saya mohon agar pihak kerajaan mengambil berat dan mengesyorkan agar pihak Jabatan Kesihatan mengadakan program kesedaran dan pencegahan berkenaan penyakit yang berpunca dari tanah dan air ini,” katanya lagi.

Beliau turut memohon agar kerajaan memperbaiki kuarters di klinik desa bagi keselesaan kakitangan.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi