ARTIKEL

Kerajaan Digesa Putuskan Status UEC, Tamatkan Penantian Berdekad

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan digesa memperjelaskan pendiriannya mengenai status Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sama ada kelayakan itu dianggap setara dari segi akademik dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Jonathan Chai Voon Tok berkata, penjelasan tersebut juga perlu merangkumi kaedah penilaian yang objektif, telus serta boleh dipertahankan secara akademik.

Menurutnya, tanpa kejelasan sedemikian, langkah dasar yang diperkenalkan itu berisiko dilihat sekadar pematuhan pentadbiran bukannya satu pembaharuan pendidikan yang bermakna.

“Daripada perspektif pihak berkepentingan pendidikan Cina, pengumuman mewajibkan semua sekolah pelbagai aliran termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran UEC mengambil mata pelajaran bahasa Melayu serta Sejarah dalam peperiksaan SPM membangkitkan satu isu dasar yang jauh melangkaui keperluan peperiksaan semata-mata.

“Kebimbangan utama bukanlah pelajar perlu mempelajari bahasa kebangsaan atau memahami sejarah Malaysia. Perkara ini diterima secara meluas dan tidak dipertikaikan, tetapi sama ada Kerajaan Persekutuan bersedia memberikan pendirian dasar yang jelas, konsisten dan tidak berbelah bahagi mengenai status serta pengiktirafan UEC,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah ketidakpastian berhubung pengiktirafan UEC telah berlarutan selama beberapa dekad dan masih belum diselesaikan di peringkat Persekutuan.

Dalam konteks itu, katanya, pengenalan keperluan peperiksaan tambahan tanpa terlebih dahulu menyelesaikan isu pengiktirafan hanya berisiko mengekalkan kekaburan dasar dan bukannya merungkainya.

“Oleh itu, pihak berkepentingan pendidikan Cina menuntut satu jawapan muktamad iaitu adakah UEC akan diiktiraf secara rasmi bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan awam dan universiti awam, atau adakah ia akan terus berada dalam keadaan ketidakpastian dasar.

“Sekiranya objektif yang dinyatakan adalah untuk menyelesaikan kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu dan syarat kemasukan ke universiti awam, maka kejelasan dasar adalah amat penting. Mewajibkan pelajar UEC menduduki peperiksaan SPM bagi subjek bahasa Melayu dan Sejarah sahaja tidak dengan sendirinya menjawab persoalan kesetaraan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, isu pengiktirafan UEC bukanlah sesuatu yang tiada preseden. Kerajaan Sarawak telah mengambil pendirian dasar yang jelas dan progresif dengan mengiktiraf UEC bagi tujuan pengambilan pekerjaan dalam perkhidmatan awam negeri.

Menurutnya, ini membuktikan pengiktirafan UEC adalah praktikal serta boleh dilaksanakan dari segi pentadbiran dalam kerangka perlembagaan dan sistem pendidikan Malaysia.

“Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Persekutuan agar mencontohi pendekatan Sarawak yang berteraskan kejelasan, ketegasan dan penghormatan terhadap kepelbagaian pendidikan bukannya membiarkan isu ini terus berlarutan di peringkat nasional,” jelasnya.

Daripada sudut akademik, beliau memaklumkan UEC diiktiraf secara meluas oleh banyak institusi pendidikan swasta tempatan yang berwibawa serta universiti antarabangsa khususnya daripada segi ketegasan kurikulum dalam bidang matematik, sains dan kecekapan bahasa.

“Sikap teragak-agak yang berterusan di peringkat Persekutuan menimbulkan persoalan sama ada isu sebenar berkaitan piawaian akademik atau sebaliknya berkaitan konsistensi dasar dan pertimbangan politik.

“Jika UEC dianggap tidak memadai daripada segi akademik, kerajaan wajar menyatakannya secara jelas serta mengemukakan justifikasi berasaskan bukti. Namun jika standard akademiknya diakui, maka ketidakiktirafan berterusan terhadap UEC bagi kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan awam semakin sukar untuk dipertahankan,” tegasnya.

Mengenai pelaksanaan, beliau menyatakan pelajar UEC mengikuti kurikulum dan laluan penilaian yang berbeza serta ramai antara mereka tidak bersedia untuk menduduki peperiksaan berformat SPM tanpa sokongan yang tersusun.

Jelasnya, sebarang peralihan dasar mesti disertai tempoh persediaan yang mencukupi, program peralihan, latihan guru serta garis panduan penilaian yang jelas bagi memastikan keadilan dan mengelakkan pelajar daripada berada dalam keadaan yang merugikan secara sistemik.

“Pihak berkepentingan pendidikan Cina menegaskan bahawa apa yang diperlukan bukanlah pelarasan secara berperingkat atau penambahan keperluan peperiksaan semata-mata, tetapi satu keputusan dasar Persekutuan yang jelas, muktamad dan berprinsip mengenai status UEC.

“Sarawak membuktikan bahawa kejelasan sedemikian boleh dicapai. Kini, Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan ketegasan yang sama. Hanya melalui ketelusan, konsistensi dan penghormatan terhadap merit akademik, kontroversi berpanjangan berkaitan pengiktirafan UEC, kemasukan ke universiti serta integrasi nasional dapat diselesaikan secara mampan dan berwibawa,” katanya.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU