Kerajaan hulur dana beli pengimbas suhu badan

SPAOH: Kerajaan bersedia menyalurkan bantuan kewangan bagi menambah baik keperluan sekolah yang melibatkan peralatan yang digunakan sebagai amalan kebiasaan baharu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekolahsekolah di luar bandar juga sudah bersedia untuk sesi pembukaan sepenuhnya pada 15 Julai ini.

Menurutnya, sekolah menyediakan tempat mencuci tangan, sanitasi dan pengimbas suhu badan yang mencukupi selain menyediakan tanda jarak sosial di sepanjang koridor termasuk jarak di antara meja di dalam kelas.

“Bagi sekolah yang menggunakan bekas plastik sebagai tempat mencuci tangan, sistem lebih sempurna seperti menggunakan singki keluli lengkap dengan saluran air paip boleh ditambah baik. “Ini lebih selamat dan tahan lama kerana usaha memerangi virus mengambil masa yang panjang.

“Selain itu, membeli lebih banyak pengimbas suhu badan malah kerajaan bersedia menyalurkan bantuan kewangan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata demikian semasa singgah di SMK Spaoh semalam bagi melihat kesiapsiagaan sekolah sebelum sekolah dibuka sepenuhnya minggu hadapan.

Beliau juga sempat berkunjung ke SK Spaoh, SK Suri Debak, SK Nanga Gayau, SK Saint John dan SK Paku Central.

Uggah berusaha mendapatkan pengimbas suhu badan bagi kegunaan sekolah yang lebih besar dengan populasi pelajar lebih ramai bagi mengelak pelajar beratur panjang. Beliau mengingatkan peranan penting guru dalam melindungi pelajar daripada sebarang jangkitan.

“Guru sekarang memainkan peranan sebagai petugas barisan depan. Jadi, laksanakan tanggungjawab itu sepenuhnya.

“Pastikan semua SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa dipatuhi tanpa gagal,” tambahnya lagi.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu dan Pegawai Pendidikan Daerah Betong Supian Ekeram.