Percepat vaksinasi, Kerajaan S’wak sedia beli vaksin sendiri

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melihat kepada kebarangkalian untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 sendiri bagi mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, dengan adanya bekalan vaksin Covid-19 itu, ia akan dapat menambah bekalan vaksin yang dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan setakat ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan satu pasukan yang diketuai oleh Datuk Dr Andrew Kiyu untuk mencari penyelesaian bagaimana kita hendak membeli vaksin.

“Sebagaimana yang diberitahu oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Persekutuan akan membekalkan semua vaksin diperlukan oleh rakyat Sarawak yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Menurut Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, sekiranya Sarawak dapat membeli bekalan vaksin Covid-19 sendiri, ia akan mempercepatkan program vaksinasi untuk rakyat negeri ini.

“Tetapi ini adalah satu pelan luar jangka kerana kita mensasarkan pada bulan Ogos ini, kesemua rakyat Sarawak mendapat suntikan vaksin.

“Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kini sedang berbincang dengan Kuala Lumpur kerana kita perlu membeli vaksin itu melalui mereka,” jelasnya.

Uggah memberitahu, setakat ini tiada petunjuk yang kita akan mendapat bekalan untuk vaksin ini.

“Bagaimanapun, usaha untuk perkara ini sedang dilaksanakan dan Abang Johari telah mengarahkan jawatankuasa tertentu untuk melihat kepada kebarangkaliannya,” ujarnya.

Suara Sarawak