KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak akan menawarkan penempatan sementara kepada sebuah keluarga daif yang tular baru-baru ini berikutan keadaan kediaman mereka yang tidak sempurna di Sungai Maong, di sini.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, struktur yang dihuni keluarga berkenaan bukanlah sebuah rumah kekal, sebaliknya lebih menyerupai pondok dengan dinding terbuka serta tidak dilengkapi kemudahan asas.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kebajikan keluarga ini, terutama kanak-kanak. Mereka tidak sesuai untuk terus tinggal di situ,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial di sini, hari ini.
Fatimah menjelaskan bahawa keluarga terbabit sebelum ini pernah ditawarkan untuk tinggal di rumah sewa tanpa perlu membayar sewa kecuali bil utiliti, namun tawaran tersebut tidak diterima.
“Keluarga itu juga telah ditawarkan penempatan di pangsapuri Batu 6, Jalan Matang di sini dengan sebahagian kos ditanggung oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, namun turut ditolak.
“Pelbagai bantuan telah disalurkan oleh pihak berkaitan termasuk bantuan bakul makanan, kerusi roda, perbelanjaan perubatan, bantuan di bawah kerajaan Sarawak serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Fatimah berkata, antara pilihan yang sedang dipertimbangkan untuk keluarga berkenaan termasuklah penempatan sementara di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching atau Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) untuk tempoh tertentu, selain bantuan bayaran sewa bagi golongan miskin bandar.
“Keutamaan adalah memastikan keluarga terbabit tidak terus tinggal di lokasi yang tidak selamat.
“Bantuan bulanan sahaja tidak mencukupi. Keperluan utama keluarga ini ialah rumah dan tempat tinggal yang selamat. Isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah memaklumkan keluarga berkenaan tergolong dalam kategori berpendapatan rendah (B40) dan merupakan penerima Bantuan Kanak-kanak sejak Ogos 2015 dengan kadar bantuan semasa RM450 sebulan.
Keluarga itu turut menerima bantuan kewangan daripada Pejabat Baitulmal Kuching berjumlah RM1,300 yang dibayar secara suku tahunan sejak Mac 2024.

