ARTIKEL

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Kerajaan perkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan bencana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching dan pembinaan tiga balai polis baharu, termasuk di Batu Lintang, Sri Aman, antara inisiatif baharu kerajaan pada 2027 bagi memperkukuh keselamatan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan RM22 bilion, dengan RM7.1 bilion dikhususkan bagi pembelian dan penyelenggaraan aset tentera, polis serta badan beruniform di bawah KDN.

Beliau berkata, beberapa fasiliti baharu turut dibina, termasuk Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tanjung Kupang, Johor; Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras; serta Pejabat Imigresen di Keningau, Sabah.

Tiga balai polis baharu pula akan dibina di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.

Dalam usaha menangani risiko bencana, Anwar berkata enam projek RTB bernilai RM336 juta telah disiapkan, manakala 82 lagi sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Bagi 2027, projek baharu turut merangkumi Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan dan PLSB Sungai Kemaman di Terengganu. Hampir RM320 juta juga diperuntukkan bagi membaiki dan menaik taraf cerun, parit serta longkang di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara menerima peruntukan RM260 juta, manakala Bantuan Pembaikan Rumah Mangsa Bencana dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Dalam aspek keselamatan siber, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan. Pusat Respons Penipuan Kebangsaan pula akan membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan mencurigakan sebelum membuat transaksi.

Sementara itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan diperuntukkan RM490 juta. Kerajaan turut memperketat saringan keselamatan di lapangan terbang, termasuk mewajibkan ujian dadah dan alkohol terhadap juruterbang serta kru penerbangan, selain memasang 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU