KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yakin dapat meneruskan momentum dalam memperkasakan ekonomi negara sekali gus meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini boleh dicapai berdasarkan strategi yang digariskan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dan komitmen serta perpaduan yang ditunjukkan semua pihak.
“Bagi mencapai hasrat ini, tiga komponen utama iaitu penciptaan pekerjaan, program penempatan, latihan dan peningkatan kemahiran serta menangani isu-isu struktural pasaran buruh akan diberikan fokus,” katanya.
Tambahnya, tahun ini NEC mengenal pasti 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 agensi pelaksana dan dipantau secara aktif oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
Di samping itu, jelasnya sebanyak 12 daripada 32 fokus inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Penciptaan Pekerjaan Nasional akan mula dilaksanakan dalam usaha menangani isu struktural pasaran buruh.
“Selain itu, NEC bersetuju dengan sasaran sebanyak 119,964 penciptaan pekerjaan yang akan direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik bagi tahun 2023.
“Oleh demikian, mesyuarat bersetuju akan kepentingan pewujudan pangkalan data yang menyeluruh bagi sektor pekerjaan dalam membantu NEC merangka strategi dan dasar yang lebih strategik berasaskan data,” katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat NEC Bilangan 1/2023 di Parlimen, hari ini.






