KUCHING: Kerajaan Persekutuan hormat keputusan Kerajaan Sarawak memutuskan penangguhan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak pasti ada sebab tersendiri untuk membuat keputusan sedemikian.
“Seperti yang diumumkan, penangguhan dibuat atas pelbagai isu.
Bagaimanapun, kita sebagai Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan berkenaan.
“Jadi, langkah yang dipersetujui sekarang adalah untuk Kerajaan Sarawak mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi bagi mendapatkan penjelasan dan akhirnya, membuat kata putus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Iftar Jamaie Bersama-sama Anak Yatim dan Anak-Anak Tahfiz di Masjid Al-Ghazali, di sini, pada Ahad.
Menurutnya lagi, punca Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menangguh pendaftaran sistem PADU masih belum dapat digambarkan.
“Kita belum mendapat sebarang penjelasan daripada Kerajaan Negeri atas tindakan tersebut dan Kerajaan Persekutuan cuba memahami punca keputusan tersebut,” jelasnya.
Sementara, beliau menyerahkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan arahan sewajarnya kepada rakyat Sarawak sama ada untuk menunggu terlebih dahulu sebelum meneruskan pendaftaran sistem PADU.
“Saya kira, rakyat Sarawak akan mengikuti arahan peringkat negeri. Bagaimanapun setakat ini, Sarawak merupakan negeri tertinggi yang sudah mendaftar untuk sistem berkenaan,” ujarnya.
Menjawab soalan pemberita mengenai pengumuman tersebut pada saat-saat akhir sebelum tamat tarikh pendaftaran, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak tahu punca Kerajaan Sarawak berbuat demikian.
“Saya tidak pasti puncanya … saya pun belum dapat sebarang penjelasan,” ringkasnya.
Dalam perkembangan lain, Fadillah menerusi satu kenyataan media mendedahkan bahawa tiada draf perjanjian baharu Kerajaan Madani dikeluarkan seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.
Jelasnya, pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka dan tiada sebarang perbincangan mengenai perjanjian berlaku.
“Dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, saya hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan.
“Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima. Justeru tidak wujud satu dokumen draf perjanjian antara Kerajaan Madani dan pembangkang seperti yang didakwa,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid menyatakan bahawa pihaknya menerima draf dokumen yang memperinci perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
“Adakah beliau (Rosol) sudah lihat draf itu. Jika belum, minta draf itu daripada Ketua Pembangkang. Cuba lihat, draf itu wujud atau tidak,” kata Fadillah.






