KUCHING: Sebanyak 80 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM3.47 bilion diserahkan kepada kerajaan Sarawak bagi mempercepatkan proses pelaksanaannya di seluruh negeri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek berkenaan, merangkumi inisiatif baharu serta projek sambungan, akan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi memastikan penyaluran air bersih kepada penduduk luar bandar dapat disempurnakan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Mulai hari ini, pelaksanaan diserahkan kepada JBALB Sarawak untuk mempercepatkan pelaksanaan projek bekalan air,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Pelaksanaan Projek BALB, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 50 projek kini berada di peringkat pelaksanaan, sembilan sedang dijalankan, 20 projek di fasa pascapelaksanaan manakala satu projek telah dibatalkan.
Beliau berkata meskipun terdapat beberapa kekangan daripada aspek perundangan, pendekatan penyelesaian bersama telah diambil bagi memastikan kelancaran projek-projek berkenaan di Sarawak.
Menurutnya, pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi telah terlibat dalam rundingan bagi mencari mekanisme terbaik untuk menyegerakan pelaksanaan projek demi manfaat rakyat.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa bersikap terbuka terhadap cadangan daripada kerajaan negeri dalam mencari kaedah pelaksanaan yang lebih progresif tanpa mengabaikan peraturan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui peningkatan kos berikutan situasi ekonomi semasa menjadi antara cabaran utama dalam menjayakan agenda bekalan air luar bandar di negeri itu.
“Bagaimanapun, terdapat garis panduan yang akan disediakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk memberi pandangan kepada Jemaah Menteri. Sekiranya terdapat keperluan untuk melakukan pelarasan kos, sama ada penambahan atau pengurangan, perkara itu akan dilaksanakan mengikut kesesuaian,” katanya. – BERNAMA

