KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri ini bagi mempercepat pelaksanaan yang membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi sektor kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) kini sudah menubuhkan satu jawatankuasa untuk merangka kaedah dan mengendalikan projek yang bakal dilaksana.
Katanya, bagi membangun semula klinik daif di negeri ini, usaha untuk memperbaiki semula klinik berkenaan dijangka bermula akhir tahun ini.
“Ketika ini, kedua-dua pihak (Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak) sedang merangka kerjasama dalam sektor perubatan dan pendidikan.
“Sarawak sudah ada satu kaedah pembayaran balik dari Kerajaan Persekutuan dan kita sudah ada jawatankuasa untuk mengendalikan perkara ini. Saya rasa hujung tahun ini akan bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Datuk Seri Mohd Naroden Majais di kediamannya di Jalan Bako di sini, semalam.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, perkara tersebut juga dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni kepadanya melalui perbualan tidak formal di Miri pada 15 April lalu.
“Semalam (15 April), saya telah berbincang secara tidak formal bersama Lukanisman di mana beliau mendedahkan bahawa pada masa ini, KKM sudah mempunyai jawatankuasa untuk mengenal pasti kaedah membangun semula klinik.
“Dalam membangunkan klinik ini, kalau lantai dan tangga klinik itu teruk, saya akan arahkan untuk bina baharu, peruntukan untuk membina baharu, kita (Kerajaan Sarawak) akan tanggung, kemudian Kerajaan Persekutuan akan bayar balik,” katanya.




