BALINGIAN: Kerajaan Sarawak bercadang memperluaskan projek perumahan mampu milik untuk golongan M40 ke bandar utama negeri ini selepas pelaksanaan projek perintis di Bintulu.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek perintis itu sedang dikaji dari segi jenis rumah, kos pembinaan dan julat harga bagi memastikan ia mampu dimiliki golongan berkenaan.

Menurutnya, Bintulu dipilih sebagai lokasi awal susulan keperluan perumahan dalam kalangan golongan M40, termasuk mereka yang mempunyai pendapatan tetap tetapi berdepan cabaran mendapatkan rumah pada harga berpatutan.
“Sekarang kita sedang mengkaji bagaimana kita hendak membangunkan rumah untuk M40.
“Kita juga sedang membuat pengiraan dari segi jenis rumah dan kos supaya mereka dapat membeli rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Balingian, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sekiranya projek perintis itu berjaya, pendekatan sama akan diperluaskan ke kawasan bandar lain termasuk Kuching, Miri dan Sibu.
Ujarnya, antara cabaran utama pembangunan perumahan di kawasan bandar adalah nilai tanah yang tinggi selain kekurangan kawasan baharu susulan pembangunan yang semakin padat.

“Bagaimanapun, kita akan laksanakan di Bintulu dahulu, iaitu di kawasan Jepak dan sebuah lagi kawasan berhampiran Samalaju, bersebelahan Kampung Nyalau,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Abang Johari turut memberitahu, pendekatan baharu kerajaan dalam pembangunan SPK kini meliputi penyediaan infrastruktur, bekalan elektrik dan air sebelum rumah dibangunkan di atas lot yang disediakan.
Ujarnya, rumah SPK di Balingian bernilai kira-kira RM300,000 termasuk tanah, namun pemohon hanya perlu membayar RM150,000 kerana baki kos ditanggung Kerajaan Sarawak.
“Selain itu, kerajaan turut menyediakan deposit RM10,000, manakala baki RM140,000 disediakan melalui pinjaman Mutiara Mortgage & Finance bagi membantu mengurangkan beban kewangan pemohon.
“Pemohon hanya perlu membayar kira-kira RM200 hingga RM300 sebulan, bergantung kepada umur dan tempoh bayaran balik,” jelasnya.
Beliau berkata reka bentuk rumah berkenaan turut disediakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), termasuk reka bentuk yang telah diluluskan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan pemilik membuat penambahan rumah pada masa hadapan.
Tambahnya, sambutan terhadap projek berkenaan juga menggalakkan dan kerajaan mempunyai lot tambahan untuk membangunkan lebih banyak rumah berdasarkan keperluan serta permintaan penduduk.


