BINTANGOR: Peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus dimanfaatkan secara optimum bagi menaik taraf prasarana sekolah, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, Kerajaan Sarawak membenarkan setiap DUN memohon peruntukan RTP sehingga RM5 juta setahun, sekali gus membuka ruang luas untuk menambah baik prasarana awam dan sebagainya.

“Sebenarnya, saya memperuntukkan sebahagian besar dana RTP untuk sekolah Meradong. Sebab itu, kita dapat lihat hampir semua sekolah di daerah Meradong hari ini mempunyai dewan tertutup,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Berkaitan Projek Pembangunan di kawasannya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Usaha sama turut dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yong Cheng bagi memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar tidak ketinggalan
Katanya, kedua-dua projek berkenaan masing-masing menelan kos RM50,000 dan memberi impak besar ke atas keselamatan serta kesejahteraan persekitaran pembelajaran.
Kuong Hiing menegaskan, kerja-kerja penggantian pendawaian lama dan usang amat penting bagi mengurangkan risiko bahaya serta memastikan penggunaan elektrik yang lebih selamat dan efisien.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur apabila dapat menyaksikan perubahan fizikal yang ketara di sekolah-sekolah terlibat, sekali gus memberi manfaat langsung kepada pihak sekolah dan komuniti setempat.
Turut dibincangkan ialah cadangan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Janting dan Tulai menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).



