SINGAPURA: Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan strategi tenaga bersih dengan meneroka inovasi dalam teknologi baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata sekarang fokus Sarawak menuju ke arah menjadi peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau yang merangkumi luar ASEAN dan Asia Pasifik.
“Visi Kerajaan Sarawak jelas untuk menempatkan Sarawak sebagai pemain utama dan terkemuka dalam sektor tenaga bersih dunia.
“Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan strategi tenaga bersih dengan meneroka teknologi seperti Projek Hibrid Solar-Angin dan Solar-Hidro.
“Inovasi ini melengkapkan pengembangan tenaga hidro kita dan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dalam pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza’ pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Pusat Konvensyen Raffles City, hari ini.
Jelasnya, bersama-sama dengan inisiatif tenaga boleh diperbaharui, penyelesaian hibrid menggariskan komitmen Sarawak yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan tenaga mampan dan masa depan rendah karbon.
Abang Johari menambah, Sarawak meneraju pembangunan ekonomi hidrogen hijau yang dilihat sebagai alternatif bersih kepada bahan api fosil.
“Maka, kita turut mempercepatkan pengeluaran komersial Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) daripada mikroalga sekali gus mengukuhkan peranan dalam menyediakan penyelesaian tenaga mampan dalam pelbagai sektor.
“Selain itu, kita juga sedang memperluaskan pengeluaran metanol hijau.
“Kompleks Metanol Sarawak yang dilancarkan pada Julai lepas menandakan usaha ke arah sebagai pengeluar metanol terkemuka global dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.75 juta tan metrik,” ujarnya.
Dalam pada itu, tegasnya lagi, Kerajaan Sarawak juga memberikan tumpuan kepada pengeluaran amonia hiliran untuk baja urea yang penting bagi kesuburan tanah dan keselamatan makanan.
Sarawak turut meneroka sumber tenaga alternatif, termasuk menukar loji arang batu kepada biojisim, serta membangunkan tenaga ombak sebagai sebahagian daripada campuran tenaga ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.
Persidangan anjuran S&P Global Commodity Insights yang bertemakan ‘Memacu Kemungkinan Masa Depan Bersama’ atau ‘Fueling Tomorrow’s Possibilities Together’ menekankan kepentingan kerjasama dan inovasi untuk mengatasi cabaran seperti perubahan iklim, bagi membuka jalan untuk kemajuan dan mempromosikan kelestarian.
S&P Global Commodity Insights merupakan penyedia terulung dunia bagi penarafan kredit, penanda aras, analitik dan penyelesaian aliran kerja dalam pasaran modal, komoditi dan automotif global.

