KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta untuk melaksanakan pembinaan Masjid Al-Mushtasfa di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan bersetuju untuk membina masjid tersebut kerana mahu kakitangan dan pesakit di hospital berkenaan mempunyai ruang solat yang selesa.

Katanya, Pengarah HUS Dr. Ngian Hie Ung bersama wakil kementerian telah datang berjumpa beliau untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al Mushtasfa HUS Dr. Nik Azim Nik Abdullah mencadangkan untuk menaik taraf surau dengan anggaran kos RM6.5 juta.
“Alhamdulillah, dengan pendapatan Sarawak yang semakin bertambah saya kata okay. Kita bangunkan masjid di hospital ini dengan peruntukan tersebut” katanya pada Majlis Makan Malam Juh Bejarah Raya 2023 HUS di Dewan Kompleks Islam, di sini, malam tadi.
Pada masa yang sama, majlis tersebut turut menyaksikan Abang Johari mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak juga menyumbangkan RM50,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan untuk kebajikan pesakit-pesakit di hospital berkenaan.
Hadir sama isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Hie Ung; Nik Azim; serta wakil yang lain.






