SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM26 juta bagi membina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng) di Simunjan menggunakan dana negeri, selepas bangunan kantin sekolah berkenaan runtuh dan tidak selamat untuk pelajar.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beliau sendiri melihat keadaan daif sekolah tersebut ketika melakukan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
“Saya tanya adakah ada peruntukan, tapi tiada. Jadi, suka atau tidak, kita terpaksa buat sendiri.
Saya telah luluskan RM26 juta untuk menaik taraf sekolah itu, manakala kira-kira RM40 juta lagi diperuntukkan bagi menangani masalah hakisan tebing sungai di Sageng,” katanya dalam ucapan ketika menutup Pesta Simunjan di sini, hari ini.
Ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, Abang Johari menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan dana sendiri bagi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
“Sekolah itu tidak ada peruntukan. Bagaimana pelajar mahu makan jika kantin sudah runtuh?
“Sebab itu apabila saya melawat, saya putuskan bahawa kita mesti guna dana Sarawak sendiri.
Walaupun ia tanggungjawab kerajaan persekutuan, kita tidak boleh biar pelajar belajar dalam keadaan begitu,” tegasnya.
Pada 25 September lalu, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee memaklumkan bahawa projek tersebut sudah bermula pada 4 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap dalam tempoh 32 bulan iaitu pada Mei 2028.
“Pembinaan sekolah baharu itu merangkumi bangunan prasekolah, padang bola sepak, bangunan akademik, dewan serba guna, serta penambahbaikan kemudahan infrastruktur untuk pelajar dan guru.




