KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mewujudkan lima pusat data yang bakal mendorong kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui aliran data rentas sempadan menjelang 2030.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin bahawa Sarawak merupakan lokasi terbaik untuk pelaburan dalam pusat data.

Menurutnya lagi, negeri ini mempunyai ruang, dan yang lebih penting, mampu membekalkan tenaga mampan untuk menjana tenaga hijau (pusat data).
“Setakat ini, kita mempunyai pusat data Tahap IV, yang juga pembawa neutral dan diperakui sebagai kemudahan pusat data hijau.
“Langkah ini penting kerana pusat data merupakan pemangkin kepada revolusi digital pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Anugerah Borneo Kajian Perniagaan Antarabangsa (IBR) 2023 di Hotel Riverside Majestic di sini, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, lokasi Sarawak yang strategik, ditambah pula dengan limpahan sumber asli dan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan mewujudkan pelbagai peluang pelaburan.
“Justeru, semua ketua industri dialu-alukan untuk meneroka peluang di sini dan melabur serta bekerjasama dengan kami untuk pertumbuhan dan kemakmuran bersama-sama,” jelasnya.

