KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju memberi tanah untuk pembinaan Pusat Kebudayaan Masyarakat Cina Muslim di Jalan Diplomatik, di sini.
Presiden Persatuan Kebajikan Tionghua Islam Sarawak (PERKTHIS) Mortadha Lau Abdullah berkata, pembinaan pusat tersebut ketika ini pada peringkat perancangan seni bina.
Katanya, pusat berkenaan dijangka memulakan pembinaan pada 2025.

“Kos pembinaan pusat di tanah seluas 1.5 ekar itu juga masih belum lagi dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini.
PERKTHIS turut mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertuan Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediamannya.
Turut hadir, Timbalan Presiden PERKTHIS Muhammad Luk Sulaiman serta ahli PERKTHIS yang lain.



