KUCHING: Kerajaan bersedia membantu warga emas yang tular hidup dalam kesusahan di Johor untuk pulang ke Sarawak sekiranya individu berkenaan ingin kembali, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata hasil semakan mendapati warga emas berkenaan merupakan rakyat Sarawak dan masih berdaftar sebagai pengundi di Saratok.
“Sekiranya warga emas itu mahu kembali ke Sarawak, kita akan bantu mencari jalan terbaik termasuk penempatan yang sesuai. Ini kerana usianya sudah meningkat dan keadaan kesihatannya mungkin tidak lagi mengizinkan untuk bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kasih Ibu Tunggal Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Nancy berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat mengenai perkara itu dengan mengunjungi lokasi warga emas berkenaan ditempatkan pada 10.00 malam tadi.
“Sebaik sahaja perkara itu tular, JKM Johor terus pergi ke lokasi warga emas itu ditempatkan.
“JKM kini akan mendapatkan maklumat lebih lengkap mengenai keadaan warga emas itu termasuk keperluan lain yang bersesuaian bagi memastikan bantuan dapat diberikan.
“Bantuan juga akan diselaraskan bersama Rumah Sarawak di Johor memandangkan negeri itu mempunyai ramai komuniti Sarawak yang menetap di sana,” jelasnya.
Nancy berkata masyarakat Sarawak yang berada di luar negeri juga perlu mengambil berat terhadap kebajikan sesama komuniti, terutama mereka yang berdepan masalah.
“Kita tidak mahu orang Sarawak nampak berkeliaran di mana-mana tempat.
“Kita mahu membantu supaya ada penyelesaian sama ada memperbaiki kehidupannya atau menghantarnya pulang ke Sarawak, kepada keluarganya jika itu yang beliau mahu,” tambahnya.
Beliau berkata sekiranya warga emas berkenaan mempunyai keluarga atau rakan yang boleh membantunya, mereka juga digalakkan tampil bagi memudahkan usaha tersebut.
“Yang penting, keluarga atau rakan-rakan yang berada dekat dengan orang ini supaya membantu. Kita akan bekerjasama melalui Rumah Sarawak dan Jabatan Kebajikan kita,” katanya.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang warga emas dipercayai berasal dari Sarawak hidup dalam keadaan serba daif di Johor.
Menurut dakwaan dalam video berkenaan, individu itu menghidap strok dan dibantu oleh orang awam selepas ditemui dalam keadaan daif.




