KUALA LUMPUR: BYD Malaysia Sdn Bhd hari ini melancarkan kenderaan sedan elektrik terbarunya (EV), BYD Seal, yang ditawarkan pada harga RM179,000 bagi varian premium dan RM199,800 bagi varian prestasi.
BYD Seal dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, merupakan model pertama dilengkapi teknologi inovatif CTB (sel pada badan) yang menyepadukan bateri bilah ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan.
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya menggesa syarikat kenderaan elektrik multinasional yang mempunyai pelaburan di Malaysia memanfaatkan tawaran dan insentif menarik yang ditawarkan kerajaan bagi mengembangkan pelaburan mereka di sini.
Beliau berkata pengeluar kereta EV global dialu-alukan menimbang menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka bagi mendapatkan akses ke pasaran EV Asean yang sedang berkembang pesat.



