HULU TERENGGANU: Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kerana cuba mengelak sekumpulan monyet di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah-Tapah dekat Kampung Kepah petang semalam seperti dilapor Bernama.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, menyatakan kejadian sekitar 4.30 petang itu menimpa Lans Koperal Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, dan Koperal Khairil Azlan Abdul Latif, 44, ketika menjalankan rondaan.
Kedua-dua anggota itu bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.
Siasatan awal mendapati Muhammad Amirul Hafiz yang memandu kereta jenis Honda City dari arah Simpang Kepah menuju ke Kuala Berang membelok ke kanan jalan apabila sekumpulan monyet tiba-tiba muncul di tengah jalan.
Sharudin menjelaskan kereta itu hilang kawalan di kawasan selekoh yang basah selepas hujan, lalu terbabas dan terbalik beberapa kali, manakala Muhammad Amirul Hafiz yang patah tangan kiri dan Khairil Azlan yang sakit di bahagian rahang dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan.






