Kereta terbabas di Samarahan babitkan dua mangsa, seorang maut, cedera

KUCHING: Seorang lelaki maut manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki terbabas di KM14 Jalan Kota Samarahan Mambong, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, pemandu, 21, tercampak keluar dari kenderaan menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala manakala penumpang, 22, mengalami cedera di bahagian kiri tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuching menghala ke Taman Stella Batu 12.

“Kereta terbabit dipercayai terbabas sendiri dan berpusing beberapa kali lalu terbalik di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandunya tercampak keluar daripada kereta,” jelas beliau dalam kenyataannya hari ini.

Menurut Alexson, pemandu kenderaan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Pusat Jantung Sarawak.

“Kedua-dua mangsa kemalangan segera dihantar ke Hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Namun salah seorang mangsa(pemandu) meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak