BINTULU: Beberapa kawasan di Bintulu terputus bekalan elektrik hampir sehari pada Sabtu, susulan kerosakan kabel bawah tanah akibat kerja penggalian oleh pihak ketiga di Jalan Sultan Iskandar.
Pengurus Wilayah SESCO Bintulu, Hung Sing Ye berkata walaupun berdepan keadaan berlumpur dan kerosakan serius, pihaknya tetap komited melaksanakan pemulihan.

Difahamkan kejadian pertama berlaku pada jam 8.55 pagi dan berjaya dipulihkan dalam tempoh 40 minit kemudian hasil tindakan segera pasukan SESCO.
Kerosakan kedua dikesan pada jam 11.57 pagi melibatkan kabel lain, menyebabkan gangguan berlarutan sebelum bekalan dipulihkan sepenuhnya pada jam 11.59 malam.
“Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Sutera, Pine Avenue, Parkcity 4 dan komuniti berhampiran.
“Dua set penjana elektrik mudah alih digerakkan untuk menyokong kemudahan kritikal termasuk Balai Polis Bintulu dan beberapa kawasan kediaman lain,” jelasnya lagi.
Hung turut menjelaskan bahawa kontraktor yang menyebabkan kerosakan akan menanggung sepenuhnya kos pembaikan.
SESCO turut merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran mereka dan kini sedang memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi.
Sebarang isu berkaitan bekalan boleh dilaporkan melalui aplikasi SEB Cares, talian 1300-88-3111 atau ejen maya CARINA.

