LAWAS: Kerja persiapan pembinaan terowong sepanjang 2.24 kilometer di Bukit Pagon yang merupakan sebahagian daripada Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 sedang giat dilaksanakan.
Terowong yang terletak kira-kira 120 kilometer dari pekan Lawas itu merupakan komponen di bawah Pakej 4 projek strategik persekutuan berkenaan bagi memperkukuh jaringan perhubungan jalan darat antara Sarawak dengan Sabah.
Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris berkata, perkembangan projek ini merupakan satu pencapaian penting dan membanggakan bagi Sarawak.
“Melihat persiapan oleh pihak kontraktor untuk memulakan kerja pembinaan amat mengujakan dan menjadi satu sumber kebanggaan.
“Ini merupakan terowong pertama di Borneo dan melambangkan keberanian Sarawak dalam meneroka cabaran kejuruteraan moden,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi JKR Sarawak semalam.
Untuk rekod, Projek SSLR Fasa 2 melibatkan pembinaan rangkaian jalan sepanjang 335.54 kilometer dengan kemajuan fizikal setakat ini mencapai 11.39 peratus.

