SINGAPURA: Kerjasama pemimpin dalam pelbagai sektor global penting untuk memacu strategi inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim.

APPEC 2024 di Pusat Konvensyen Raffles City, Singapura. – Foto: UKAS
Demikian desakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyatakan bahawa iklim Sarawak adalah sebahagian daripada gerakan global yang mengiktiraf kepentingan kerjasama antarabangsa.
“Dengan turut aktif dalam dialog global, berkongsi pengalaman dan pandangan, Sarawak membina kerjasama dengan wilayah, negara dan organisasi global untuk memajukan kelestarian.
“Kerjasama dalam pelbagai sektor global penting untuk perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi dan mobilisasi sumber dalam memacu strategi inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza’ pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024 di Pusat Konvensyen Raffles City, hari ini.
Jelasnya, pembangunan hidrogen hijau Sarawak menunjukkan bagaimana inisiatif tempatan boleh diangkat ke peringkat global melalui perkongsian.
“Malah, dalam ucapan saya baru-baru ini di Forum Hidrogen di Poznań, Poland dan Forum Perniagaan ASEAN di Sydney, Australia, saya menekankan kepentingan kerjasama global.
“Begitu juga dasar yang berkesan dan inovatif tanpa henti dalam membina masa depan yang mampan,” ujarnya.
Abang Johari turut menyatakan Kerajaan Sarawak merancang untuk mempercepatkan peralihan operasi Pelabuhan Hijau dan Pintar bagi kawasan rantau Asia Pasifik.
Menurutnya, usaha ini dapat dijayakan dengan menghasilkan bahan bakar hijau, mewujudkan hab pengisian bahan bakar hijau dan melaksanakan koridor utiliti bersama untuk kemudahan pelabuhan yang canggih.
“Untuk menyokong usaha tenaga bersih, Kerajaan Sarawak sedang membina kemudahan terminal gas dan merancang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
“Ini untuk memenuhi keperluan pengangkutan dan kelestarian moden dengan keutamaan terhadap infrastruktur yang tahan lasak dan lestari,” ujarnya.
Sejajar dengan ekonomi berasaskan inovasi, tambahnya lagi, Sarawak juga melabur dalam sektor maju seperti avionik dan komponen pesawat, serta kursus aeroangkasa berteknologi tinggi.
“Inisiatif ini saya percaya selari dengan matlamat yang lebih luas untuk mewujudkan ekonomi yang dipacu inovasi dan lestari.
“Sekali gus melengkapkan generasi muda dengan kemahiran untuk berjaya dalam industri rantaian nilai teknologi tinggi dan menyokong transformasi ekonomi Sarawak,” tambahnya.

