ARTIKEL

Sekitar rakaman ketika pelajar menerima keputusan SPM masing-masing. Foto: GHAZALI BUJANG

Kerjasama Ibu Bapa, Guru Kunci Kelulusan 100 Peratus SPM Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru menjadi pendorong utama kecemerlangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kolej berkenaan, Datuk Rozalix Edi Wahab berkata beliau amat menghargai komitmen serta sokongan berterusan ibu bapa sepanjang tempoh persediaan pelajar menghadapi peperiksaan tersebut.

“Saya sendiri hadir ke sekolah setiap minggu untuk berbincang dengan guru bagi meninjau keperluan pelajar dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama ini kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan kerana guru dan pelajar telah mempamerkan usaha maksimum masing-masing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila kolej tersebut berjaya mengekalkan pencapaian kelulusan 100 peratus dalam SPM bagi tempoh beberapa tahun berturut-turut.

“Saya amat bangga dengan kejayaan sekolah termasuk pencapaian 100 peratus lulus sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, kita juga kekal antara yang terbaik bagi subjek Bahasa Inggeris di Sarawak.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas komitmen tinggi yang diberikan dan syabas kepada anak-anak yang berjaya menamatkan SPM dengan cemerlang,” ujarnya.

Tambahnya, PIBG sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah dalam merancang program tahunan merangkumi aspek akademik dan keperluan bajet.

“Kita sentiasa berbincang dengan guru untuk merancang program serta meneliti keperluan peruntukan setiap tahun. Bagi tahun 2026, kita telah berbincang dengan pengetua untuk menggandakan usaha melibatkan sinergi antara guru, pelajar dan ibu bapa,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian serius dan tidak menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab membantu kecemerlangan anak-anak kepada guru sahaja. Komitmen ibu bapa dan pelajar itu sendiri amat krusial dalam dunia pendidikan.

“Guru sememangnya bekerja keras, namun sokongan ibu bapa menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini. Sinergi inilah yang membolehkan kolej ini mengekalkan prestasi cemerlang saban tahun,” tegasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya aktif menganjurkan pelbagai program akademik seperti kelas tambahan dan bengkel melibatkan subjek teras termasuk Matematik dan Sains bagi memperkukuh persediaan pelajar.

“Kita konsisten mengadakan kelas tambahan serta bengkel akademik, selain bekerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan prestasi pelajar.

“Bagi perancangan masa hadapan, kita akan terus memantau prestasi subjek tertentu yang menunjukkan sedikit penurunan, khususnya dalam bidang Sains dan Kimia.

“Sehubungan itu, kita akan duduk semeja dengan pengurusan sekolah untuk mencari formula penyelesaian bagi menambah baik pencapaian subjek berkenaan dalam peperiksaan SPM akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengumuman keputusan SPM di kolej tersebut menyaksikan seramai 13 pelajar meraih keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran, sekali gus mengekalkan rekod kelulusan 100 peratus bagi tahun ini.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU