KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawang D3 Atipsom akan berhubung dengan Interpol dan Aseanapol bagi membantu mengesan dan menyelamat lapan rakyat Sarawak yang terperangkap di Myanmar kerana menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak telah menerima tiga laporan polis berhubung dengan tawaran kerja di luar negara yang dilaporkan di Tanjung Manis, Julau dan Sibu pada 21 September dan 22 September lalu.
Katanya, kes tersebut turut dimaklumkan kepada Konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu untuk mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa yang terlibat.
“Kesemua mangsa adalah lelaki berumur antara 25 tahun ke 35 tahun yang telah dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar.
“Kesemua mereka mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand dan ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000 seorang.
“Setibanya di Thailand, kesemua mangsa seterusnya di bawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Wong Ing Fung.
Mohd Azman berkata, maklumat yang diterima juga mengatakan mangsa tidak mengetahui apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan.
Katanya, sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak majikan mereka akan didenda dan didera serta diugut akan dijual kepada ejen yang lain.
“Kesemua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga dan mangsa hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi,” tambahnya.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan orangdan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).
Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja yang diterima yang menawarkan gaji lumayan baik di luar negara mahupun di dalam negara.
Katanya, orang ramai boleh menyemak kesahihan dan maklumat berkenaan bakal majikan dengan Kementerian Luar Negeri dan pastikan kontrak dan perjanjian jelas sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
Katanya lagi, sekiranya terdapat ahli keluarga yang terperangkap dengan sindiket penipuan tersebut, mangsa boleh meminta bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, perwakilan atau kedutaan Malaysia di tempat tersebut atau ahli keluarga membuat laporan polis.


